Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Warisan Sape cuba catat rekod 'Malaysia Book of Records' menerusi persembahan 50 jam


Tarikh kemaskini: 12/02/2019





KUCHING, 12 Feb (Bernama) -- Kumpulan Warisan Sape berpeluang mencatat nama dalam buku 'The Malaysia Book of Records (MBR)' melalui persembahan permainan alat muzik tradisional sape paling lama iaitu selama 50 jam tanpa henti di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Miri bermula Jumaat ini.

Acara persembahan muzik sape tanpa henti paling panjang itu dianjurkan bersama Sarawak Energy dan RTM sebagai satu percubaan untuk dicatat sebagai rekod dalam MBR.

Menurut Sarawak Energy dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan Warisan Sape akan disertai para pemain sape dari Baram dan Belaga untuk menjadikan jumlah pemuzik sape terlibat seramai kira-kira 50 orang.

“Para pemuzik sape berkenaan akan mengadakan persembahan bermain alat muzik itu sama ada solo atau berkumpulan terus-menerus mulai pukul 9.30 pagi 15 Feb hingga 11.30 pagi 17 Feb, untuk mencapai sasaran 50 jam.

“Acara tersebut, yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran-saluran televisyen RTM, memperagakan pelbagai rentak dan melodi muzik sape tradisional dan moden oleh pemuzik veteran dan muda,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Pengurus Besar Tanggungjawab Sosial Korporat dan Kelestarian Sarawak Energy, Jiwari Abdullah mengajak orang ramai khususnya penduduk Miri untuk datang beramai-ramai menyaksikan persembahan tersebut demi menyokong usaha untuk melestari dan mempromosikan muzik dan alat muzik tradisional itu.

“Pemain veteran alat muzik sape kini semakin meningkat usia dan kita perlukan orang muda untuk mempelajari kesenian itu daripada mereka menerusi pelbagai cara termasuk menerusi penganjuran acara-acara seumpama ini,” kata beliau.

Menurut kenyataan itu lagi, Sarawak Energy akan terus menjalin kerjasama dengan masyarakat peribumi untuk mengekalkan keunikan warisan budaya Sarawak dalam muzik dan kraftangan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dua perjalanan ke Pulau Langkawi sebelah pagi batal, Terminal Feri Kuala Kedah sesak

 
     

Cubaan seludup dadah bernilai RM4.2 juta tumpas

 
     

Lelaki hilang ketika menangkap ikan di Sungai Segaliud, Kinabatangan

 
     

Kemarau: hutan di tiga jajahan berisiko tinggi kebakaran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel