Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kanak-kanak mangsa kemalangan jadi anak angkat Perkeso


Tarikh kemaskini: 12/02/2019





KUALA TERENGGANU, 12 Feb (Bernama) -- Kanak-kanak berusia lima tahun yang terselamat daripada kemalangan jalan raya Sabtu lalu akan dijadikan anak angkat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu.

Pengarah Perkeso Terengganu Nora Yaacob berkata, Muhammad Khairul Haziq Abdul Hadi akan berada di bawah program Skuad Prihatin Perkeso, dan penjaga akan menerima wang pencen bapanya yang merupakan kelindan lori, setiap bulan.

"Kita akan bayar pencen ini sehingga Muhammad Khairul Haziq berusia 21 tahun dan kalau masih belajar kita akan tanggung sampailah beliau berjaya menamatkan ijazah pertama.

“Sepanjang tempoh itu kita akan pantau dan buat lawatan secara berkala ke rumah penjaganya bagi memastikan beliau diuruskan dengan baik dan terjaga kebajikannya," katanya selepas menyampaikan sumbangan faedah pengurusan jenazah kepada nenek kanak-kanak tersebut, Wook Awang, 68, di sini hari ini.

Dalam kemalangan tragik Sabtu lalu, lima anggota keluarga kanak-kanak itu iaitu bapa, ibu dan adik perempuan serta bapa suadara dan neneknya terkorban.

Menceritakan perkembangan kanak-kanak itu, Nurul Fatihah Jusoh, 34, berkata anak saudaranya itu masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan masih trauma serta meracau ketika tidur.

Lebih memilukan, Muhammad Khairul Haziq sering terjaga di tengah malam sambil menangis memanggil nama bapanya dan beliau yang sebelum ini petah bercakap kini menjadi pendiam.

"Setiap kali ahli keluarga datang melawat, saya dapat lihat mata Haziq tercari-cari kelibat papa, ibu dan adiknya yang dipanggil adik Ica," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paloh, di sini.

Menurut Nurul Fatihah lagi murid pra sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mas itu masih belum dimaklumkan tentang pemergian ibu bapanya kerana bimbang emosinya terganggu.

"Kami semua telah berbincang dan memutuskan bahawa Haziq akan diletakkan di bawah jagaan nenek saudaranya yang tinggal di Kampung Durian Mas.

"Kami akan selalu menjenguk dan bergilir-gilir menjaganya ketika cuti sekolah memandangkan jarak antara Kampung Paloh dan Durian Mas tidaklah begitu jauh," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Dua perjalanan ke Pulau Langkawi sebelah pagi batal, Terminal Feri Kuala Kedah sesak

 
     

Cubaan seludup dadah bernilai RM4.2 juta tumpas

 
     

Lelaki hilang ketika menangkap ikan di Sungai Segaliud, Kinabatangan

 
     

Kemarau: hutan di tiga jajahan berisiko tinggi kebakaran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel