Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah perlu tubuh Biro Konvensyen bagi SICC untuk manfaatkan pasaran MICE


Tarikh kemaskini: 10/02/2019





KOTA KINABALU, 10 Feb (Bernama) – Kerajaan negeri Sabah perlu menubuhkan agensi khas seperti Biro Konvensyen bagi Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dalam mengendalikan pemasaran dan pembidaan untuk memanfaatkan pasaran Mesyuarat, insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE). 

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang dalam satu kenyataan hari ini berkata MATTA bimbang bahawa SICC akan menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’ sekiranya konvensyen itu tidak diuruskan dengan  baik. 

“Adalah mustahak dan penting bagi kerajaan untuk menubuhkan satu agensi khas, seperti Biro Konvensyen yang seeloknya berada terus di bawah bidang kuasa Jabatan Ketua Menteri atau Kementerian Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah, dalam memanfaatkan pasaran MICE. 

"Jika tidak, tanpa pengurusan yang betul, kami bimbang SICC akan menjadi projek ‘gajah putih’ sekiranya sebuah agensi khas tidak ditubuhkan untuk memulakan pemasaran dan pembidaan bagi segmen dalam pasaran menguntungkan ini.  

"Di Malaysia kita ada Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang, Biro Konvensyen Sarawak, Biro Konvensyen Kuala Lumpur, Putrajaya, Shah Alam dan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia yang dikhususkan untuk memanfaatkan pasaran MICE,” katanya yang mengulas mengenai artikel media bertajuk  ‘Banking on MICE Hopes’.

Tan berkata negeri-negeri lain seperti Johor dan Pahang baru-baru ini telah mengumumkan rancangan mereka untuk menubuhkan Biro Konvensyen mereka sendiri, justeru, beliau mencadangkan kerajaan Sabah untuk mengambil langkah yang sama menubuhkan Biro Konvensyen bagi SICC.

Beliau berkata SICC, selepas siap kelak, bakal menawarkan kemudahan dengan fungsi-fungsi yang bertaraf dunia.

"Tetapi, kami bimbang kemudahan ini akan kurang digunakan jika keadaan terus seperti ini. Antara tempoh Jan dan Sept 2018, Sabah merekodkan 33,613 orang daripada 241 acara, menjana perolehan pelancongan bernilai RM82.6 juta di mana acaraa diadakan di hotel utama sedia ada,” katanya.

Tan berkata selain menjana perniagaan yang baik bagi hotel-hotel utama di Sabah,  SICC juga membantu mewujudkan peluang baharu bagi pemain tempatan untuk menubuhkan syarikat pengurusan baharu, penganjur persidangan profesional dan pembekal lain berkaitan MICE.  

Beliau berkata MATTA ketika ini merupakan ahli Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM)  yang bertujuan mempromosikan industri acara perniagaan sebagai satu bahagian penting dalam ekonomi Malaysia. 

"Kota Kinabalu terletak di lokasi strategik dan memiliki daya tarikan alam semula jadi dengan 230 sambungan penerbangan antarabangsa terus mingguan dan 430 penerbangan mingguan dari Semenanjung Malaysia, ia menjadikan bandar raya itu destinasi pilihan bagi pasaran MICE.

"Bagaimanapun, oleh kerana ia adalah pasaran yang kompetitif , banyak analisis data dan maklumat pemasaran, proes pembidaan yang agresif dan efektif perlu dilakukan untuk menarik orang menjalankan perniagaan di sini,” katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel