Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lebih 20 syarikat tempatan akan dipanggil labur di Sabah


Tarikh kemaskini: 09/02/2019





TAWAU, 9 Feb (Bernama) -- Lebih 20 syarikat tempatan Sabah yang berdaftar di Bursa Malaysia akan dipanggil membincangkan pelaburan bagi pembangunan negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurutnya, langkah itu bertujuan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri dan meningkatkan peluang pekerjaan untuk anak-anak Sabah selain memastikan syarikat terbabit turut menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Saya akan panggil satu-satu (syarikat terbabit) bagi memastikan mereka ini dapat melabur di peringkat negeri...jangan hanya daftar di peringkat negeri sahaja tetapi tidak memberi (sumbangan) pulangan kepada penduduk.

“Saya yakin (ini dapat dilaksanakan) dan sudah mulakannya dengan tauke Hap Seng (Pengerusi Hap Seng Consolidated, Tan Sri CK Lau) dan saya minta beliau supaya melabur di sini. Beliau beritahu akan melabur RM1 bilion di Sabah," katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Rumah terbuka anjuran Dewan Undangan Negeri Sri Tanjong itu turut dihadiri dua Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew dan Datuk Jaujan Sambakong selain lebih 1,000 penduduk.

Selain itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri juga akan mengambil langkah bagi kemudahan pelabur termasuk mempercepatkan proses permohonan berkaitan.

“Jangan banyak sangat karenah birokrasi dalam hal memberi kelulusan. Kita beri kelulusan ini bukan untuk bangunkan negeri tetapi juga pekerjaan kepada anak-anak tempatan dan langkah ini perlu direalisasikan," katanya.

Mohd Shafie turut menegaskan bahawa beliau mahukan pembangunan yang seimbang di Sabah dan tidak hanya tertumpu di daerah tertentu.

“Saya tidak mahu hanya Kota Kinabalu yang menikmati pembangunan. Kita perlukan pembangunan yang seimbang.

Beliau juga menyedari cabaran yang perlu dilalui bagi membangunkan Sabah dan menegaskan pemimpin bertanggungjawab akan menyelesaikan dan bukannya mengelak masalah.

Menyentuh soal perpaduan, Mohd Shafie berkata semangat itu perlu terus dipupuk dan dikekalkan kerana menjadi teras kerjasama membangunkan Sabah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     

Program 'Anak Kami' PPIM bantu bayi tidak sah taraf dapat keluarga angkat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel