Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Larry Sng berhasrat lawat 47 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja


Tarikh kemaskini: 09/02/2019





KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Anggota Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien yang sebelum ini mendedahkan tentang penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja merancang melawat mereka dalam masa terdekat.

Katanya beliau sudah menghantar surat kepada Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berhubung perkara itu.

“Saya baru sahaja dimaklumkan oleh seorang wakil keluarga yang kini berada di Kemboja bahawa  seorang daripada mereka yang ditahan telah dibawa ke hospital minggu lalu bagi menjalani pembedahan di perut.

“Memandangkan komunikasi yang amat terhad, saya sedang berusaha menggunakan kapasiti peribadi saya untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang perkara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya beliau juga merancang untuk membawa bersama beberapa anggota keluarga tahanan serta wakil media bagi meninjau sendiri keadaan mereka di sana. 

Pada masa sama Sng meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan tahanan terbabit.

“Mereka semua adalah anak-anak kita, anak-anak Malaysia,” katanya.

Dalam satu sidang media di Kuching pada Khamis, Sng mendedahkan 47 rakyat Malaysia berusia 18 hingga 21 tahun yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia, kini ditahan di sebuah penjara di negara terbabit.

Menurutnya mereka ditahan tanpa dibicarakan di mahkamah selain penahanan tidak dimaklumkan kepada kedutaan Malaysia di sana.

Sng berkata daripada 47 orang itu yang kebanyakannya lelaki, 44 adalah rakyat Sarawak dan baki dari Semenanjung.

Dalam satu kenyataan pada hari sama, Kementerian Luar mengesahkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Dis lepas namun hanya dimaklumkan secara lisan oleh polis Bantey Meanchey pada 28 Dis.

Menurut kenyataan itu, mereka ditahan kerana disyaki terlibat aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel