Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua beradik di Sungai Petani rayu ibu kandung pulang


Tarikh kemaskini: 07/02/2019





SUNGAI PETANI, 7 Feb (Bernama) -- Dua beradik yang tinggal bersama ibu saudara mereka di Taman Sri Tanjung di sini merayu ibu kandung, Norasilah Mat Lazim, 33, yang hampir dua tahun tidak  berjumpa agar dapat pulang menemui mereka.

Nur Qistina Balqis Mohd Shah Rezan, 13, dan Nur Aleesya Balqis, 10, kini hanya menumpang  kasih Norafiza, 40, kakak kepada ibu mereka selepas kali terakhir berjumpa dengan  Norasilah  pada  Oktober  2017.

Nur Qistina berkata dia serta adiknya itu sangat merindui ibu mereka dan mengharapkan Norasilah  dapat  pulang ke pangkuan mereka sekali gus dapat tinggal bersama.

“Kali terakhir saya dapat cakap dengan mak bulan lepas (Januari), mak ada telefon bercakap dengan kami. Mak tanya kami sihat dak...mak cuma habaq (beritahu) nanti mak balik, mak kena kerja cari duit  tetapi  mak tak habaq dia duduk (tinggal) mana (sekarang),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Norafiza berkata kali terakhir dia berjumpa dengan adiknya itu semasa  Norasilah  pulang  untuk memberi penghormatan terakhir kepada bapa mereka yang meninggal dunia pada 30 Okt 2017 di sini setelah empat tahun keluar dari rumah itu pada 2013.

“Mak ayah depa (dua beradik itu) memang dari awal tinggal sekali dengan arwah mak ayah saya di rumah  di Taman Sri Tanjung ini. Tetapi selepas mak saya meninggal dunia pada 2013, adik saya dan suaminya keluar rumah, tak balik-balik. Jadi, ayah saya yang menjaga makan minum serta persekolahan budak-budak ini,” katanya.

Norafiza berkata sewaktu adiknya pulang pada Okt 2017 itu ada memaklumkan kepadanya bahawa dia mahu pulang semula ke Alor Setar untuk berpindah dan tinggal bersama dua anaknya di rumah itu namun tidak berbuat demikian.

“Semasa dia (Norasilah) pulang pada Oktober 2017, dia tak balik dengan suaminya, dia balik dengan kawan-kawan dia, itu pun sekejap sahaja hendak tengok ayah kami yang dah meninggal dunia. Jadi, saya tak tahu sekarang macam mana status mereka suami isteri, adakah masih bersama ataupun sudah berpisah, saya tak pasti,” katanya. 

Norafiza berkata dia cuba menghubungi adiknya itu menerusi nombor telefon yang digunakan adiknya menghubungi dua beradik itu pada Januari lepas namun gagal dihubungi malah bapa kepada dua anak saudaranya itu pun kini tidak dapat dikesan berada di mana. 

“Saya dan suami yang sebelum ini tinggal di Alor Setar, berpindah masuk ke rumah pusaka di taman ini selepas ayah meninggal dunia. Kamilah yang menjaga dua beradik ini sekarang, makan minum dan persekolahan mereka kami yang uruskan,” katanya.

 Dia berkata keadaan bertambah rumit kini apabila dua beradik itu terpilih mewakili sekolah mereka ke Program Pengantarabangsaan Ko-Kurikulum Sekolah untuk sukan taekwondo di Thailand pada Mac depan.

Norafiza berkata urusan dokumentasi untuk permohonan pasport  tergendala  berikutan  memerlukan  keizinan  ibu kandung sendiri untuk ke luar negara bagi budak bawah umur.

“Saya dan suami tidak boleh berikan keizinan untuk urusan permohonan pasport ini sebabnya tidak ada bukti secara bertulis mengatakan kami adalah penjaga sah kepada dua beradik ini,” katanya sambil menambah suaminya Mat Tabri Mohd Bahadon, 44, hanya bekerja kampung mengambil upah membuat kerja bendang,

Sehubungan itu, suri rumah itu berkata dia dan suami terpaksa pergi ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk  memohon hak penjagaan dua beradik itu secara sah bagi memudahkan urusan permohonan pasport mereka sekali gus dapat ke Thailand nanti.

Kepada sesiapa yang mengenali Norasilah dan mengetahui dia berada di mana boleh menghubungi Norafiza di talian 014-3411776.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel