Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek pembinaan Jambatan Bota siap 25 peratus


Tarikh kemaskini: 06/02/2019





PARIT, 6 Feb (Bernama) -- Projek pembinaan jambatan bernilai RM48 juta menghubungkan Kampung Lambor Kanan ke Kampung Lambor Kiri, yang merentasi Sungai Perak di Bota, akan diteruskan dan telah siap 25 peratus sejak ia mula dijalankan pada Mac tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan  Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata projek jambatan itu dibina di atas 11 lot tanah penduduk Kampung Lambor Kanan dan Kampung Lambor Kiri dengan bayaran ganti rugi atau pampasan membabitkan RM1.5 juta.

Projek itu akan diteruskan berikutan proses pembinaan telah dijalankan selain kerja pengambilan tanah dengan wang pampasan sudah didepositkan kepada pihak yang berkenaan, katanya selepas melakukan  lawatan ke rumah penduduk kampung yang terbabit dengan projek pembinaan jambatan itu di Kampung Lambor Kanan di sini, hari ini. 

Menurutnya lagi, terdapat satu lot tanah yang melibatkan tanah pusaka, namun pemilik tanah itu telah menerima bayaran pampasan bernilai RM270,000 dan dakwaan mengatakan Kerajaan Negeri merampas tanah orang kampung untuk projek berkenaan adalah tidak betul.

"Wang pampasan sudah didepositkan dan saya difahamkan sama ada di Pejabat Amanah Raya atau  Mahkamah Tinggi... ini perlu disemak dengan Pejabat Tanah iaitu pihak yang menguruskan pengambilan (tanah) berkenaan kerana pada masa itu waris tidak ada sebab tanah ini masih lagi atas nama si mati, jadi perlu ada surat kuasa dahulu. 

"Wang pampasan dibayar terus kepada pemilik yang dikenal pasti... mana yang tidak dikenal pasti  (nama tanah masih nama individu yang sudah tiada) sama ada di Mahkamah Tinggi atau Amanah Raya,”  katanya.

Asmuni berkata nilai pampasan yang dibayar kepada pemilik tanah yang terbabit berdasar kepada  keluasan selain melihat nilai tanah itu terutama faktor lokasi tanah dengan jalan utama.

“Ini adalah kaedah penilaian dan mungkin timbul (salah faham mengenai nilai pampasan tanah) di sini kerana tuan rumah tidak mempunyai pengetahuan yang sempurna mengenai pengambilan (tanah) ini," katanya. 

Beliau berkata mengikut undang-undang di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah menyatakan pengambilan tanah untuk tujuan awam tidak memerlukan persetujuan dan kerajaan boleh mengambil tanah itu tetapi perlu membayar ganti rugi. 

"Kalau untuk membina (kemudahan seperti) jalan, klinik kesihatan, masjid, sekolah dan jambatan atau  seumpamanya untuk 'public purpose' (tujuan awam) yang ini tidak perlukan persetujuan (pemilik).

"Ini untuk kepentingan ramai (tanah) boleh diambil tetapi dengan membayar ganti rugi yang secukupnya  bergantung kepada penilaian," katanya dan menambah projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 4 Mac, 2020. 

Sementara itu, waris pemilik tanah pusaka di Kampung Lambor Kanan yang terbabit dalam projek itu, Abd Razak Ismail, 57, berkata, dia berharap pihak terbabit dapat memberikan tuntutan yang setimpal untuk  meneruskan kehidupan.

"Pampasan yang diterima berjumlah RM270,000 sudah didepositkan dalam Amanah Raya, namun  masih dalam proses untuk dikeluarkan.

"Kami menerima notis daripada pihak kontraktor dan Pejabat Tanah pada 15 Jan lepas untuk keluar dari rumah ini, namun dengan wang yang diterima sebanyak itu tidak cukup untuk saya dan tiga adik perempuan yang semuanya orang kelainan upaya (OKU) untuk membeli tanah atau rumah baharu,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel