Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nama Siti Nurhaliza tiada dalam senarai calon PRK Semenyih - Mukhriz


Tarikh kemaskini: 06/02/2019





ALOR SETAR, 6 Feb (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama sekali tidak mengetahui nama penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dalam senarai calon  parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Timbalan Presiden parti Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata beliau yang terlibat secara langsung dalam proses penilaian dan pemilihan calon untuk PRK Semenyih itu tidak menemui nama Siti Nurhaliza dalam senarai tersebut.

"Itu khabar angin sahaja kot sebab saya terlibat dalam proses pemilihan calon dan nama dia (Siti) tidak timbul setakat ini dan tak tahu la kalau ada cadangan lepas ni. Jadi anggota Bersatu atau tidak, itu pun saya tidak pasti," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin kononnya  Siti Nurhaliza akan bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Semenyih yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mac depan.

Siti Nurhaliza pada 5 Feb menafikan khabar angin kononnya beliau akan menjadi calon Pakatan Harapan dalam PRK DUN Semenyih.

Dalam posting Instagram, penyanyi popular itu yang menggunakan hashtags #BukanDunSemenyih #sayabukancalonbertanding #sayacumakayuhje  dengan disertakan gambar beliau dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa berbasikal ke empangan Semenyih.

PRK Semenyih itu diadakan ekoran  kematian rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai dakwaan  perselisihan pandangan berhubung calon Bersatu pada PRK Semenyih, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata perkara itu hanyalah propaganda yang dibuat pihak lawan.

"Apabila nama calon dikeluarkan ada yang cepat-cepat hendak buat perang saraf kononnya berlaku perpecahan dalam Bersatu. Ini semua taktik lama, dalam parti lama (UMNO) pun macam itu juga dan saya tahu ini orang luar yang buat dan bukannya anggota parti yang buat.

"Proses pemilihan calon masih berjalan dan kita pertimbang semua tokoh yang hendak dicalonkan dan tidak mengehadkan berapa jumlah calon. Ada daripada bahagian, sayap, Srikandi, Armada dan luar bahagian juga yang mahu bertanding, jadi kita akan tengok semua itu," katanya.

Pada Isnin lepas, sebuah portal melaporkan beberapa sepanduk yang dipasang berhampiran sebuah simpang jalan di Semenyih dan risalah yang memaparkan beberapa gambar individu yang didakwa berkemungkinan dicalonkan telah dipangkah.

Terdahulu, Mukhriz bersama barisan Anggota  Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina yang dihadiri lebih 1,000 pengunjung di Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.       

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Rumah 20 peserta projek Mesej Abai, Kinabatangan dibina tahun ini

 
     

Saya tahu siapa dalang sebar video - Azmin

 
     

Kesungguhan pimpinan, ahli Bersatu harus kekal demi kelangsungan parti - Maszlee

 
     

Pandelela fokus terjunan baharu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel