Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Marko kecewa Kelantan gagal memperoleh mata pertama


Tarikh kemaskini: 03/02/2019




KOTA BHARU, 3 Feb (Bernama) -- Ketua Jurulatih Kelantan Marko Kraljevic kecewa dengan kegagalan pasukannya itu memperolehi mata sulung pada perlawanan pembukaan Liga Premier menentang Selangor United walaupun menguasai perlawanan.

Jurulatih kelahiran Jerman itu berkata beliau kecewa selepas pemainnya tidak menggunakan sebaik mungkin peluang untuk menjaringkan gol bagi menewaskan pasukan lawan.

"Pemain tidak manfaatkan peluang sebaliknya banyak melakukan tindakan yang kurang bijak ketika menyerang.

Sepatutnya pemain boleh mengubah keputusan perlawanan ini dan tidak pulang dengan tangan kosong," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang semalam, Kelantan ditewaskan pasukan berstatus kelab itu, 0-1 dan ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada keyakinan penyokong kepada barisan pemain yang dimiliki oleh pasukan itu.

Marko berkata beliau juga kesal dengan beberapa corak pemain yang dilihat lebih kepada individu berbanding secara berpasukan.

"Bola sepak memerlukan kebijaksanaan dan menyokong antara satu sama lain jika mahu kemenangan, individu belum pasti akan memberikan kemenangan.

"Tiada jalan singkat untuk berjaya, buang sikap tamak pada perlawanan selepas ini kerana pasukan mempunyai masa untuk melakukan perubahan," katanya.

Katanya pada perlawanan berikutnya pemainnya perlu melakukan kerja keras untuk memastikan kemenangan memihak kepada The Red Warrios (TRW) itu.

"Kami memiliki pemain muda, mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan memperbaiki kualiti permainan mereka.

Saya tidak perlu melakukan apa-apa perubahan walaupun kecewa dengan keputusan perlawanan pertama kami di tempat lawan," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel