Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PKNP FC buat aduan kepada FAM, tidak puas hati keputusan pengadil


Tarikh kemaskini: 03/02/2019




LUMUT, 3 Feb (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Perak FC (PKNP FC) akan membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas tidak berpuas hati terhadap beberapa keputusan pengadil pada perlawanannya menentang Kedah, malam tadi.

Jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim berkata beberapa keputusan pengadil dilihat meragukan termasuk menafikan sepakan penalti yang sepatut diberikan kepada anak buahnya selepas bola terkena tangan pemain Kedah di dalam kotak penalti pada minit ke-78 sehingga merencatkan permainan anak buahnya.

Katanya, beliau juga akan turut membuat laporan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang selain memastikan mutu pengadilan yang lebih baik.

“Jika ada VAR (sistem bantuan pengadil), mungkin bola yang melantun kena tangan pemain Kedah (diberi penalti), penyokong semua boleh lihat, cuma kita dinafikan (peluang mengubah keputusan perlawanan),” katanya dalam sidang media selepas perlawanan tersebut di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, pasukan tuan rumah tumpas 0-2 di tangan Kedah menerusi jaringan Muhammad Shakir Hamzah pada minit ke-66 sebelum menambah lagi satu jaringan menerusi Jonathan  Jesus Bauman pada minit ke-86.

Sementara itu, pasukan Kedah berpuas hati dapat membawa pulang tiga mata pertama dalam perlawanan pembukaan musim malam tadi biar pun tidak mempamerkan persembahan terbaik mereka.

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, berkata pertembungan dengan skuad PKNP FC itu bukan mudah kerana pasukan itu sentiasa dibarisi pemain muda yang cergas.

“Saya akui ini bukan aksi terbaik Kedah tetapi yang paling penting kami dapat tiga mata pertama. Kita tahu semua pasukan akan ada sedikit gementar pada perlawanan pertama," katanya.

Aidil Sharin juga mengakui kesebelasan yang beraksi malam tadi tidak mendapat jaminan akan terus kekal sebagai pemain tonggak dalam pasukan itu kerana beliau mahu mewujudkan persaingan sihat sesama pemain.

"Tiada kesebelasan utama dalam pasukan, jika ada pemain simpanan yang berusaha keras, dia akan dapat tempat dalam skuad, kita nak pemain tahun ini perlu bersaing untuk mendapat tempat," katanya.

--BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel