XpKmv_88NSU JPJ Kedah keluarkan 159 notis dalam Op Tahun Baharu Cina
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JPJ Kedah keluarkan 159 notis dalam Op Tahun Baharu Cina


Tarikh kemaskini: 03/02/2019





ALOR SETAR, 3 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengeluarkan notis saman terhadap 159 pemilik motosikal sejak Op Tahun Baharu Cina bermula 29 Jan hingga semalam. 

Pengarah JPJ Kedah, Isma Suhaimi Sharif berkata sehingga malam tadi, 621 motosikal diperiksa dan 451 kesalahan dicatatkan, kesalahan paling banyak dikesan tidak memiliki lesen memandu sah, lesen tamat tempoh, tidak menampal lesen P dan menunggang di bawah umur.

"Sebanyak 12 motosikal juga disita sepanjang lima hari operasi dijalankan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama 101 anggota JPJ, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat dalam Op TBC yang diadakan di hadapan Hospital Lama Alor Setar di sini.

Dalam operasi bermula 8 malam semalam hingga awal pagi tadi, pihaknya juga menahan dua remaja lelaki berumur 15 tahun kerana menunggang motosikal tanpa lesen selain dikesan menyimpan senjata besi buku lima di bawah tempat duduk motosikalnya.

Isma Suhaimi berkata kami turut menahan seorang lelaki berumur 30-an dan menyita motosikal jenis Yamaha Ego yang ditunggangnya atas kesalahan menukar nombor pendaftaran bagi mengelak daripada dikenakan saman.

Hasil siasatan mendapati nombor motosikal tersebut telah didaftarkan atas sebuah lagi motosikal jenis Honda EX5 di Baling," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasa dan Keselamatan AADK, Nasru'd-din Abdul Rahman berkata pihaknya juga membuat saringan urin secara rambang terhadap 11 individu dan lima daripadanya positif dadah.

"Lima individu yang berumur antara 17 dan 43 tahun ini positif dadah jenis morfin dan syabu. Selain itu, kami turut merampas enam bungkus air ketum yang dibawa oleh seorang lelaki warga emas," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel