Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Aspen, IKEA labur RM2.6 bilion dalam pembangunan bertaraf dunia


Tarikh kemaskini: 02/02/2019





BATU KAWAN, 2 Feb (Bernama) -- Lebih daripada RM2.6 bilion telah dilaburkan oleh syarikat usaha sama (JV) yang dibentuk oleh Aspen Group Sdn Bhd dan IKEA Southeast Asia ke atas Aspen Vision City, sebuah metropolis berkeluasan 99.15 hektar di Pulau Pinang.

Aspen Vision City merupakan sebuah pembangunan bersepadu bercampur-campur yang dirancang dalam pelbagai fasa, ia dibangunkan untuk menjadi hab komersil dan pusat perniagaan di Batu Kawan, dengan komponen-komponen utama seperti Central Island Park, Kawasan Komersil Vervea, Hotel Aloft dan gedung IKEA yang pertama di utara Semenanjung Malaysia.

Presiden Kumpulan Aspen, Datuk M Murly berkata sejumlah RM105 juta telah dilaburkan untuk fasa pertama Central Island Park yang mempunyai mercu tanda pancutan air setinggi 50 meter, sekarang ini menjadi tarikan utama Pulau Pinang sejak ia dibuka pada Oktober tahun lepas. 

Kawasan Komersil Vervea, yang disiapkan pada Disember 2018, mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM845 juta, dengan RM60 juta telah dilaburkan untuk pembangunan sebuah pusat pameran dan perdagangan berkeluasan 3,530 meter persegi serta RM25 juta lagi, bagi bumbung ETFE pusat tersebut.

"Bercakap mengenai Vervea, kami harap pusat itu akan dibuka mulai suku pertama dan kami mengalu-alukan jenama dan penyewa tempatan yang mampu menampung keperluan masyarakat di bandar itu," katanya, sambil menjelaskan, syarikat JV berkenaan masih mempunyai kira-kira 28.33 hektar ruang untuk dimajukan pada masa depan. 

Terdahulu, Murly dan Timbalan Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Nazir Ariff mewakili Aspen Group Sdn Bhd bagi memeterai perjanjian dengan Marriott International Incorporate Hotel Development Asia Pacific yang diwakili oleh Naib Presiden Kanan, Kevin Chen dan Pengarah, Andree Susilo, untuk mengendalikan sebuah hotel 5 bintang dengan 308 bilik di bawah jenama Aloft di Batu Kawan.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P Ramasamy. 

Sementara itu, Chen berkata pembangunan hotelnya di Aspen Vision City menandakan hotel ke-29 Marriott International di Malaysia, dengan 25 lagi sedang dalam fasa perancangan atau sedang dibina.

"Ini menjadikan Marriot International sebagai hotel antarabangsa yang terbesar di Malaysia," katanya.

Marriott International Incorporate (NASDAQ: MAR) berpangkalan di Bethesda, Maryland, USA, ia meliputi satu portfolio hartanah melebihi 6,900 hartanah dalam 30 jenama hotel merentasi 130 negara.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Lapan nelayan asing ditahan, tangkap ikan secara haram di perairan Labuan

 
     

Populasi badak sumbu Sumatera tidak lagi dikesan di Sabah

 
     

Kerajaan Kedah pinjam bank luar, tambah baik infrastruktur bekalan air

 
     

Sektor industri disasar sumbang 35 peratus kpd KDNK Sabah menjelang 2030

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel