Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kenal pasti lokasi tumpuan untuk projek perumahan B40 - MB Perak


Tarikh kemaskini: 02/02/2019





LUMUT, 2 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri menyeru semua pihak pejabat berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mengkaji dan mengenal pasti lokasi strategik, terutama di kawasan bandar bagi membuka ruang untuk projek Rumah PerakKu kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pemilihan lokasi projek Rumah PerakKu yang strategik akan memberikan persekitaran yang lebih kondusif sekali gus memberi nilai tambah serta limpahan ekonomi buat kawasan sekitarnya.

“Kami mahu golongan B40 ini berkesempatan tinggal di kawasan bandar dengan keadaan yang kondusif dan tumpuan.

“Bagaimanapun harga rumah masih sama. Justeru, saya ingin mengesyorkan kepada semua daerah lain untuk mengenal pasti lokasi sebegitu supaya kita dapat memberi nilai tambah kepada pembeli (golongan) B40,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci Rumah PerakKu kepada 50 penerima di Taman Mohd Wazir, Batu 10 Lekir di sini sempena lawatan kerja dua hari beliau ke daerah Manjung berakhir hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Perak, Yong Choo Kiong dan Anggota Parlimen Lumut Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Rumah Perakku Taman Mohd Wazir membabitkan 50 unit merupakan projek lanjutan program rumah My Beautiful New Home di bawah kerajaan dahulu yang tergendala.

Setiap rumah bersaiz 758 kaki persegi itu dianggarkan dengan nilai tanah mencecah RM160,000, namun pembeli dapat memilikinya pada kadar harga cuma RM20,000 saja dengan hanya membayar RM70 sebulan manakala tempoh pinjaman adalah sehingga 35 tahun.

Ahmad Faizal berkata dalam taklimat pembangunan daerah Manjung semalam, antara perkara yang menarik perhatian adalah beliau kagum dengan inisiatif dan keprihatinan Pejabat Tanah dan Daerah Manjung yang membuat keputusan untuk tidak lagi menempatkan rumah mesra di hujung dunia (luar bandar) supaya golongan B40 tidak berasa terasing.

Jelasnya lagi, ketika ini 440 unit rumah kos rendah dan 910 rumah kos sederhana untuk fasa awal projek Rumah PerakKu di seluruh negeri ini kini sedang giat dibina Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

Beliau turut mendedahkan LPHP ketika ini menerima lebih 11,000 permohonan bagi rumah kos rendah dan 943 permohonan bagi rumah kos sederhana.

Untuk rekod, kerajaan Perak menyasarkan untuk membangunkan 50,000 unit Rumah Perakku dan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sehingga 2022. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel