Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis terima laporan kes dera libatkan pengasuh sama di Manjung


Tarikh kemaskini: 01/02/2019





IPOH, 1 Feb (Bernama) -- Polis Perak menerima satu lagi laporan  daripada sebuah keluarga mendakwa anak mereka didera pengasuh sama yang dikaitkan dengan kematian seorang bayi lelaki, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Perak SAC Yahya Abd Rahman berkata keluarga terbabit membuat laporan polis dua hari lalu mendakwa bayi lelaki mereka berumur sembilan bulan didera pengasuh sama.

Katanya keluarga itu mendakwa sepanjang tempoh sembilan bulan menghantar bayi ke rumah pengasuh berkenaan, terdapat tiga insiden kecederaan pada bahagian telinga dan kepala anak mereka.

"Keluarga berkenaan berhenti menghantar anak mereka sebelum kes kematian itu disebabkan sudah ada tiga insiden kecederaan terhadap anaknya, namun mereka tidak pernah membuat laporan polis.

"Tetapi selepas mengetahui kematian bayi pada Isnin lalu yang melibatkan pengasuh sama, mereka tampil membuat laporan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini,hari ini.

Sehubungan itu, Yahya berkata walaupun tiada tangkapan dibuat namun pihaknya percaya dengan maklumat terbaharu, kes kematian bayi lelaki pada Isnin lalu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Isnin lalu, Muhammad Firas Danial Muhammad Nizar, sembilan bulan, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Paediatrik di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, pada 2.49 petang selepas dipercayai didera pengasuh di Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung pada 25 Jan lepas.

Mengenai kematian Muhammad Firas Danial, Yahya berkata polis masih menunggu laporan penuh pegawai perubatan.

Katanya laporan awal bedah siasat mendapati bayi tersebut meninggal dunia akibat darah beku di kepala dipercayai berpunca daripada goncangan kuat.

"Terdapat dua kesan darah beku di kepala bayi berkenaan dan perkara itu tidak boleh berlaku melainkan bayi tersebut digoncang dengan kuat hingga menyebabkan otak bergegar," katanya sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel