Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

15 individu termasuk anggota 'Geng Wan Bomba' ditahan sekitar Perak


Tarikh kemaskini: 01/02/2019





IPOH, 1 Feb (Bernama) -- Polis Perak berjaya menyelesaikan lima kes jenayah susulan penahanan 15 individu termasuk dua bekas penjawat awam, selain merampas pelbagai jenis barangan hasil kegiatan jenayah bernilai RM281,180 sepanjang bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Yahya Abd Rahman berkata semua suspek dari tiga kumpulan penjenayah itu ditahan selepas dipercayai memecah masuk kedai alat telekomunikasi dan kedai runcit di sekitar daerah Ipoh, Kuala Kangsar, Sungai Siput, Manjung serta Kerian.

"Pada 22 Jan lalu, pihak polis menerima laporan berhubung kes pecah kedai telekomunikasi di Laluan Naga Kanthan, di sini yang menyaksikan 70 telefon bimbit pelbagai jenama dan pelbagai kad tambah nilai serta wang tunai dianggarkan bernilai RM107,000 hilang.

“Hasil risikan, polis berjaya membuat beberapa siri tangkapan yang melibatkan lapan lelaki dan dua wanita termasuk ketua kumpulannya yang dikenali sebagai ‘Wan Bomba’ berumur 39 tahun di sekitar Ipoh dan Gerik," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di sini hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh antara 26 sehingga 29 Jan lepas, polis menahan 10 anggota kumpulan yang dikenali sebagai 'geng Wan Bomba' itu dalam tujuh tangkapan berasingan.

Yahya berkata berdasarkan siasatan lanjut, pihaknya mendapati kumpulan itu turut terlibat dalam dua lagi kes pecah kedai menjual telefon bimbit di Sungai Siput dan Kuala Kangsar awal Jan lalu yang melibatkan kerugian kira-kira RM58,000.

"Dua suspek wanita dilepaskan dengan jaminan polis manakala ketua kumpulan itu kita akan pohon sambung reman untuk siasatan lanjut berikutan reman pertama akan tamat esok," katanya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata polis menahan seorang lelaki berumur 33 tahun selepas dipercayai terlibat kes pecah kedai runcit di Manjung, Rabu lepas, dan menurutnya polis turut merampas hampir 80 peratus barang yang dicuri antaranya pelbagai jenis kad tambah nilai, 67 utas gelang tangan, rantai dan loket berwarna emas dan 85 kotak rokok pelbagai jenama.

"Hasil soal siasat terhadap suspek yang ditahan di Pantai Remis, Manjung itu, suspek mengaku melakukan pecah kedai runcit berkenaan dan pihak polis sedang giat mengesan tiga lagi rakan suspek yang dalam kes yang melibatkan kerugian berjumlah RM70,900," katanya.

Sementara itu, bagi kes terakhir, Yahya berkata polis menahan empat lelaki berumur antara 21 dan 34 tahun kerana memecah kedai menjual tefefon di Pusat Pandar, Parit Buntar hingga mengakibatkan kerugian RM45,280 pada 8 Jan lalu.

“Tangkapan kesemua lelaki itu dibuat di Pulau Pinang dan Kedah pada 23 dan 24 Jan lepas,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel