Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bersama-sama menyambut perayaan perteguh perpaduan kaum - Taib


Tarikh kemaskini: 01/02/2019





KUCHING, 1 Feb  (Bernama) -- Tradisi dalam kalangan rakyat Malaysia yang sama-sama menyambut Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak merupakan peluang terbaik bagi mereka bertegur sapa serta memperbaharui ikatan persahabatan.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud berkata keunikan ini akan melindungi negara dan perpaduan rakyat di samping membolehkan mereka terus memahami antara satu sama lain dalam tahun-tahun yang mendatang.

"Kita harus sedar bahawa amalan yang kita lakukan ini memelihara perpaduan dan integrasi nasional jauh menandingi peristiwa umum lain, dan kerajaan sedang berusaha untuk menggalakkannya ke arah memperteguhkan perpaduan kita dalam kalangan pelbagai kaum.

"Saya berpendapat ini perkara paling hebat yang ada di Malaysia dan tidak dapat ditandingi negara lain,” kata beliau dalam perutusan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Beliau berkata meskipun akan berlaku perubahan dalam cara ia dilakukan, kesedaran bahawa menjadi rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Cina, Iban, Melayu, Bidayuh atau Orang Ulu membawa maksud mereka tidak hidup terasing dalam budaya mereka sendiri.

Abdul Taib berkata ini merupakan perkara yang baik tentang Malaysia kerana rakyat berupaya memahami bahawa bercampur gaul antara kaum tidak memusnahkan budaya sesuatu kaum itu.

"Saya sudah beberapa kali meraikan Tahun Baharu Cina dan bagi saya, inilah masa yang terbaik untuk saya menzahirkan penghargaan atas persahabatan dengan rakan-rakan saya daripada kaum Tionghua.

"Ada kalanya saya berjumpa semula bekas rakan sekolah saya, namun malangnya jumlah mereka kini semakin berkurangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel