Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Harga tiket kereta api Bukit Bendera naik RM1 mulai April


Tarikh kemaskini: 01/02/2019





GEORGE TOWN, 1 Feb (Bernama) -- Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) akan menaikkan harga tiket untuk perkhidmatan kereta api kabel atau funikular Bukit Bendera bermula 1 April ini, kata pengurus besarnya, Cheok Lay Leng, hari ini.

Katanya tiket laluan normal bagi dewasa, kanak-kanak dan warga emas bagi laluan sehala naik RM1 iaitu RM5 kepada RM6 berkuatkuasa April nanti.

"Harga tiket baharu itu adalah bagi pemegang Mykad, Mykid, warga asing yang mempunyai permit bekerja di atas Bukit Bendera dan pasangan kepada warga Malaysia manakala harga bagi pas bulanan (RM40) pelancong asing (RM15 bagi sehala) serta promosi 'sunrise/sunset' (RM3.50 sehala) tidak berubah.

"Tiket promosi sunrise/sunset hanya boleh digunakan bermula pukul 6.30 pagi hingga 8.00 pagi dan 7.30 malam hingga 9.45 malam dan untuk orang kelainan upaya (OKU) adalah percuma," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Menurutnya harga baharu itu dilaksanakan berikutan peningkatan kos operasi dan kos penyelenggaraan sistem funikular serta peningkatan kemudahan infrastruktur awam dan kemudahan di kawasan puncak Bukit Bendera.

"Peningkatan kos itu juga disebabkan oleh nilai ringgit yang lemah dan inflasi. Kali terakhir perubahan harga tiket laluan normal ini dilaksanakan ialah pada 2015 iaitu tambang untuk seorang dewasa bagi pemegang Mykad dinaikkan dari RM4 kepada RM5," katanya.

Cheok berkata pihaknya menjalankan kerja penyelenggaran utama sebanyak dua kali setiap tahun bagi memastikan operasi, kebolehpercayaan kejuruteraan dan tahap keselamatan sistem penggera sentiasa berada dalam keadaan baik.

Katanya kebanyakan alat gantian sistem funikular diimport dari luar negara terutamanya dari Eropah.

"Bukit Bendera menerima kira-kira dua juta pengunjung dan penduduk tempatan setiap tahun menggunakan sistem perkhidmatan funikular, laluan jip dan melalui laluan mendaki," katanya.

Beliau berkata PBBPP juga akan terus komited untuk memelihara dan menjaga warisan semula jadi serta sejarah Bukit Bendera supaya ia dapat terus dikekalkan untuk generasi-generasi yang mendatang.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel