Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

15 lokasi kemalangan maut dikenal pasti di Perak


Tarikh kemaskini: 01/02/2019





BUKIT GANTANG, 1 Feb (Bernama) -- Lima belas lokasi panas dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan maut di Perak sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina 2019,  kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri Abdul Yunus Jamhari.

Beliau berkata lokasi panas tersebut terletak di semua 12 daerah di Perak kecuali Kerian melibatkan Jalan Persekutuan, Jalan Bandaran, Jalan Negeri dan Lebuh Raya Utara Selatan.

Katanya statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak menunjukkan, sebanyak 37,035 kes kemalangan jalan raya dilaporkan pada tahun 2018 berbanding 38,587 kes pada 2017.

"Angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,552 kes manakala kematian menurun kepada 689 kes pada tahun 2018 berbanding 711 pada tahun 2017," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Tahun Baharu Cina peringkat negeri di kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang arah utara di sini hari ini.

Abdul Yunus berkata bagi mengurangkan kemalangan maut, seramai 1,200 pegawai dan anggota penguat kuasa terdiri daripada  polis, Jabatan Pengangkutan Jalan serta agensi sokongan lain bertugas sepanjang tempoh operasi yang bermula 29 Jan hingga 12 Feb ini.

Abdul Yunus yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri berkata PLUS Bhd juga mengerakkan 156 petugas bagi memastikan kelancaran dan keselesaan pengguna lebuh raya.

Menurut beliau PLUS menganggarkan 1.9 juta pengguna jalan raya akan melalui negeri ini berbanding 1.4 juta pada 2017 dengan peningkatan sebanyak 0.5 juta.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata kerjasama orang ramai melaporkan ketiadaan mereka di rumah pada musim perayaan atau cuti sekolah kepada bilik gerakan polis membantu menangani kes pecah rumah sepanjang waktu itu.

Beliau berkata sejumlah 180 penduduk melaporkan ketiadaan mereka di rumah sepanjang musim perayaan 2018 berbanding 191 laporan pada tahun 2017.

"Sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina pada tahun lalu, 25 kes pecah rumah direkodkan berbanding 30 kes pada tahun 2017," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel