Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JPJ Perak wujud 14 pasukan sempena Tahun Baharu Cina


Tarikh kemaskini: 31/01/2019





BAGAN SERAI, 31 Jan (Bernama) -- Empat belas pasukan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak akan membuat rondaan 24 jam di lebuh raya dan jalan persekutuan di negeri ini dalam Ops Penguatkuasaan sempena perayaan Tahun Baharu Cina, bermula Selasa lepas hingga 12 Feb ini.

Pengarah JPJ Perak, Mohd Zawawi Zakaria berkata pasukan membabitkan 30 anggota itu akan menjalankan pemantauan dan rondaan di lebuh raya sepanjang 224 kilometer bermula dari Slim River ke Alor Pongsu serta jalan-jalan kerap berlaku kemalangan.

“Kita memberi fokus kepada lapan kesalahan utama antaranya tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit dan tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Tahun Baharu Cina di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol arah selatan di sini hari ini.

Mohd Zawawi berkata pihaknya turut mewujudkan enam stesen penguatkuasa sementara di Plaza Tol Slim River (arah utara), Plaza Tol Tapah (arah utara), Plaza Tol Kuala Kangsar, Plaza Tol Taiping Utara, Hentian R&R Gunung Semanggol dan Plaza Tol Alor Pongsu.

“Kita juga akan menempatkan tiga pasukan penguatkuasa, sebelum masuk Terowong Menora dan hentian kecemasan selepas Terowong Menora dari 8 pagi hingga 6 petang.

“Ini bagi menunjukkan kehadiran anggota JPJ berada di kawasan tersebut bagi memantau pengguna jalan raya,” katanya.

Selain itu, Mohd Zawawi berkata anggotanya juga akan menjalankan operasi penyamaran dalam bas dari semasa ke semasa bagi memastikan pemandu bas mematuhi undang-undang jalan raya.

Beliau berkata 411 anggota membabitkan 125 pasukan akan bertugas sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

“Dalam tempoh tiga hari ini, antara kesalahan dikesan ialah lesen memandu tamat tempoh dan beberapa kesalahan teknikal,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran trafik pada musim perayaan ini, kenderaan barangan (berat) dilarang menggunakan jalan raya sebelum perayaan pada 2 hingga 4 Feb serta selepas perayaan pada 9 dan 10 Feb.

Selain itu, Mohd Zawawi berkata pihaknya juga akan mengadakan Ops Motosikal pada 2 dan 3 Feb serta 9 dan 10 Feb ini, kerana lebih 60 peratus kemalangan maut melibatkan pembonceng dan penunggang motosikal.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel