Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sebanyak 1,384 unit rumah mampu milik bakal dimiliki golongan berpendapatan rendah - exco


Tarikh kemaskini: 25/01/2019




KUALA PILAH, 25 Jan (Bernama) -- Sebanyak  1,384 unit perumahan mampu milik ‘type A’ yang dibangunkan pemaju swasta mengikut Dasar Perumahan Negeri Sembilan bakal dimiliki golongan berpendapatan rendah yang melepasi kriteria yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong berkata pelaksanaan projek perumahan mampu milik ini bertujuan untuk meringankan beban golongan yang mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,500 sebulan dan belum memiliki rumah.

“Kerajaan negeri memang komited untuk membina perumahan mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah dan apa yang paling penting adalah perumahan mampu milik ini diberi keutamaan kepada penduduk yang bekerja atau menetap dalam daerah yang projek pembinaan tersebut dibangunkan.

“Kita telah memilih seramai 34 pemohon pertama daripada 1,384 orang yang berjaya untuk memiliki rumah mampu milik ‘Type A’ dalam sesi pertama pengundian dan kita ada tujuh lagi projek dan sesi pengundian bakal dilaksanakan di beberapa daerah lain dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sesi Pengundian Perumahan Mampu Milik Type A di sini,hari ini.

Menurutnya, setiap unit perumahan mampu milik Type A yang berharga RM80,000 adalah mengikut polisi yang telah ditetapkan kerajaan negeri di bawah Dasar Perumahan Negeri Sembilan iaitu rumah teres berkeluasan 20x60 kaki persegi.

Sementara itu, Teo juga berkata kerajaan negeri telah mengambil inisiatif dengan membuat permohonan kepada kerajaan pusat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membangunkan 11 tapak tanah untuk pembinaan rumah mampu milik awam di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan jumlah unit perumahan lebih kurang 2,800 unit.

“Kerajaan Negeri Sembilan merupakan kerajaan pertama yang mengemukakan permohonan ini kepada KPKT dan buat masa sekarang kita cuma menanti kelulusan dari kerajaan pusat untuk meluluskan pembinaan PPR yang akan dibina di setiap daerah,” katanya.

Teo berkata kerajaan negeri juga telah mengenal pasti sebidang tanah di Seremban untuk dibangunkan sebagai perumahan khas untuk penjawat awam negeri ini yang belum memliki rumah.

“Kita akan membina sebanyak 288 unit perumahan dan kita jangka akan memulakan projek ini pada tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Lapan nelayan asing ditahan, tangkap ikan secara haram di perairan Labuan

 
     

Populasi badak sumbu Sumatera tidak lagi dikesan di Sabah

 
     

Kerajaan Kedah pinjam bank luar, tambah baik infrastruktur bekalan air

 
     

Sektor industri disasar sumbang 35 peratus kpd KDNK Sabah menjelang 2030

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel