Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah bakal laksana kurikulum pendidikan berasaskan perindustrian


Tarikh kemaskini: 22/01/2019




KOTA KINABALU, 22 Jan (Bernama) -- Sabah bakal melaksanakan kurikulum pendidikan berasaskan perindustrian di peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di negeri ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata ini adalah selaras dengan wawasan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mahu menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri perindustrian.

Katanya untuk itu, semua jabatan berkaitan pendidikan di Sabah akan digerakkan dengan segera agar dapat berganding bahu dalam pelaksanaan perancangan ke arah usaha tersebut.

“Pada masa sama, semua kolej negeri dan swasta serta institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di Sabah diminta menyemak semula semua kurikulum mereka pada tahun ini dengan memberi penekanan kepada aspek kemahiran keusahawanan di kalangan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, susulan lawatan rasmi kementeriannya ke Singapura baru-baru ini.

Yusof berkata rangka lawatan kerja itu adalah lawatan balas terhadap kunjungan rasmi Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean ke Sabah pada tahun lepas.

Katanya ia bertujuan meneroka model pendidikan di Singapura pada peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, dan institusi pendidikan tinggi.

Menurutnya hasil kunjungan rasmi ini juga telah membuka ruang kepada pemeteraian satu memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan Singapura yang dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“MoU tersebut antara lain adalah usaha ke arah kerjasama dalam beberapa bidang yang dikenal pasti, antaranya pertukaran staf dan pelajar, pengajaran kursus-kursus bercirikan inovatif dan penyelidikan bersama bagi kedua-dua pihak," katanya.

Dalam rangka lawatan tersebut, rombongan delegasi mengadakan kunjungan ke beberapa sekolah rendah dan menengah, institusi pendidikan tinggi dan agensi di Singapura antaranya Institute of Technical Education (ITE), National University of Singapore (NUS), Kementerian Pendidikan Singapura dan kunjungan hormat terhadap Menteri Pendidikan Singapura, Ong Ye Kung.

Lawatan yang diketuai Yusof itu turut disertai Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Jennifer Lasimbang dan Naib Cancelor Universiti Malaysia Sabah Datuk Dr D Kamarudin D Mudin.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel