Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penyelam SAR tunggu situasi ‘slack water’ untuk ikat SUV


Tarikh kemaskini: 22/01/2019





Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

GEORGE TOWN, 22 Jan (Bernama) -- Kerja-kerja mengangkat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang awal pagi Ahad dijangka bermula pukul 3 petang iaitu ketika situasi air tenang atau 'slack water'.

Komander Pasukan Polis Marin  Wilayah 1, ACP Rosman Ismail berkata pasukan penyelam dijangka memulakan selaman bagi mengikat kabel pada SUV yang tenggelam kira-kira 15 meter di bawah laut bagi membolehkannya ditarik dengan kren dari atas Jambatan Pulau Pinang.

"Pasukan penyelam dijangka membuat selaman pada pukul 3 petang kerana jadual pasang surut air laut menunjukkan pada masa tersebut adalah (keadaan) 'slack water' atau air tenang.

"Ketika ini 40 orang penyelam dari Pasukan Polis Marin, Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat telah berada di tiang 34 Jambatan Pulau Pinang sejak pukul 10 pagi untuk bersiap sedia bagi menyelam ke kereta tersebut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya beberapa orang penyelam telah menyelam pagi tadi namun tidak dapat mendekati kereta itu ekoran arus yang kuat di dasar laut, selain jarak penglihatan yang terhad oleh kehadiran selut.

Rosman berkata pihaknya menjangkakan kerja-kerja untuk mengangkat kereta jenis Mazda CX5 itu akan dapat diselesaikan hari ini dan sebuah kren juga telah bersiap sedia bagi mengangkat kenderaan berkenaan.

"Kren berada di Pasukan Polis Marin di Batu Uban dan ia akan bergerak ke lokasi selepas pasukan penyelam memberi isyarat kerja-kerja mengangkat sudah boleh dijalankan," katanya.

SUV itu dipandu oleh penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta pada jam 2.54 pagi, Ahad lepas.

Kenderaan itu berjaya ditemukan pada pukul 4 petang semalam di Tiang 34 Jambatan Pulau Pinang sebelum sebuah kren berkapasiti tinggi tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 5.45 petang untuk memulakan usaha membawa keluar kenderaan itu dari dasar laut.

 -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     

Program 'Anak Kami' PPIM bantu bayi tidak sah taraf dapat keluarga angkat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel