Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mikro hidro berasaskan komuniti, enam kampung terus nikmati bekalan elektrik


Tarikh kemaskini: 22/01/2019





Oleh Haslin Gaffor

PENAMPANG, 22 Jan (Bernama) -- Penggunaan sistem mikro hidro bagi menjana elektrik di enam kampung di daerah ini yang bertahan lama dan masih digunakan sehingga kini adalah hasil konsep berasaskan komuniti bagi penyelenggaraan sistem itu.

Menerusi konsep itu, penduduk kampung sendiri melakukan penyelenggaraan menerusi latihan yang diberikan oleh Tobpinai Ningkokoton Koburuan Kampung (Tonibung), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperkenalkan sistem mikro hidro itu.

Penasihat teknikal Tonibung, Senator Adrian Banie Lasimbang berkata enam kampung yang mendapat bekalan elektrik menerusi sistem mikro hidro itu adalah Terian, Tiko, Buayan, Pongobonon, Kalanggan dan Longkogungan di kawasan Ulu Papar.

Katanya Tonibung membangunkan teknologi mikro hidro ini sejak 2001 dengan mendapat bantuan daripada beberapa agensi swasta, kerajaan dan pertubuhan antarabangsa.

Menurutnya, model ini diperkenal sebagai satu alternatif dalam menyediakan bekalan elektrik di kampung-kampung yang terletak di kawasan pedalaman.

"Ini adalah model mikro hidro berasaskan komuniti yang kami promosikan di negara ini agar penduduk kampung di pedalaman dapat menikmati bekalan elektrik," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata janaan elektrik dihasil menerusi sistem mikro hidro di Kampung Terian yang diperkenalkan sejak 2004 adalah sebanyak lima kilowatt (kw), manakala di Kampung Buayan adalah 10kw, Kalanggan (8kw), Pongobonon (5kw) dan Longkogungan (3kw).

Katanya Tonibung mempunyai sebuah pusat di daerah ini yang menghasilkan turbin dan alat untuk menghasil mikro hidro ini dengan teknologi dibangunkan secara tempatan termasuk inovasi menggunakan bahan kitar semula antaranya aluminium.

Turbin yang dihasilkan menggunakan aluminium yang dikitar semula dapat mengurangkan kos penyediaan peralatan mikro hidro, katanya.

Adrian berkata dalam melaksanakan sistem ini, paling penting sekali adalah memastikan ada orang kampung dapat menyelenggara dan mengoperasi sistem ini secara berterusan.

Justeru, katanya Tonibung mewujudkan sebuah Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui dan Teknologi Sesuai untuk memberi latihan kepada anak tempatan yang menjadi pengendali sistem ini di kampung mereka.

Beliau berkata pihaknya telah mengemukakan model mikro hidro ini kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar peringkat negeri dan persekutuan sebagai alternatif membekalkan elektrik di kawasan pedalaman di negara ini.

Adrian berkata bukan semua tempat mempunyai potensi untuk sistem mikro hidro disebabkan untuk memasang sistem ini memerlukan ketinggian dan aliran air berterusan.

Katanya kawasan di pesisir pantai tidak sesuai tetapi ada alternatif lain boleh digunakan antaranya  penggunaan solar, angin dan juga sistem hibrid untuk menjana bekalan elektrik.

"Tonibung telah membangunkan teknologi hibrid dan sudah menjalankan beberapa projek yang mana solar dan hidro ini digabungkan menjadi hibrid," katanya dan menambah jangka hayat teknologi ini lebih panjang dan kosnya lebih murah kerana tidak memerlukan panel solar terlalu besar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel