Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerja menaikkan kereta terhumban bermula pukul 9 pagi


Tarikh kemaskini: 22/01/2019





GEORGE TOWN, 22 Jan (Bernama) -- Operasi membawa keluar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV)  yang terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang disambung semula pukul 7 pagi ini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, ACP Rosman Ismail berkata bot-bot bersama anggota  penyelamat dan penyelam telah berada di lokasi penemuan kereta Mazda CX5 itu seawal 7 pagi bagi melihat keadaan di laut untuk proses membawa naik kenderaan berkenaan.

"Kerja-kerja mengangkat kereta itu dari dasar laut akan bermula pukul 9 pagi kerana pihak PLUS (Plus Malaysia Berhad) menasihatkan agar proses berkenaan bermula lewat sedikit bagi mengelakkan kesesakan di atas jambatan berikutan hari ini adalah hari bekerja.

"Sebahagian jalan di kawasan kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang dari bahagian pulau ke Perai akan ditutup bagi membolehkan kren menjalankan kerja-kerja mengangkat kereta Mazda CX5 dibuat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya sehubungan itu, pengguna jalan raya di Jambatan Pulau Pinang diminta mematuhi arahan pihak polis yang bertugas bagi melancarkan perjalanan di atas jambatan itu.

Rosman berkata operasi hari ini  berkemungkinan lebih mudah dan tidak mengambil masa yang lama kerana pasukan penyelamat telah berjaya mengesan kedudukan SUV berkenaan yang berada 15 meter dari lokasi ia terhumban ke dalam laut dengan kedalaman kira-kira 15 meter.

"Cuma semalam pasukan penyelamat menghadapi beberapa kesukaran kerana keadaan arus yang kuat dan jarak penglihatan di dasar laut terhad berikutan hari semakin gelap, kami harap hari ini semua (usaha mengangkat keluar kenderaan) berjalan lancar," katanya.

SUV itu dipandu oleh penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta pada pukul 2.54 pagi Isnin.

Kenderaan itu berjaya ditemukan pada 4 petang semalam di Tiang 34 Jambatan Pulau Pinang sebelum sebuah kren berkapasiti tinggi tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 5.45 petang untuk memulakan usaha membawa keluar kenderaan itu dari dasar laut.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Lapan nelayan asing ditahan, tangkap ikan secara haram di perairan Labuan

 
     

Populasi badak sumbu Sumatera tidak lagi dikesan di Sabah

 
     

Kerajaan Kedah pinjam bank luar, tambah baik infrastruktur bekalan air

 
     

Sektor industri disasar sumbang 35 peratus kpd KDNK Sabah menjelang 2030

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel