Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Insiden Jambatan Pulau Pinang: Kejadian kelima sejak 2010


Tarikh kemaskini: 21/01/2019




GEORGE TOWN, 21 Jan (Bernama) -- Kejadian kenderaan terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang awal pagi semalam, merupakan insiden kelima berlaku di jambatan berkenaan dalam tempoh 2010 sehingga kini.

Dalam kejadian terbaharu ini, sebuah kereta dipercayai dipandu penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, hilang kawalan selepas dilanggar sebuah kereta lain di jambatan itu sebelum terhumban ke laut kira-kira 2.54 pagi semalam. Sehingga 3 petang ini, gerakan mencari masih gagal menemukan mangsa.

Berdasarkan rekod diperoleh Bernama, kejadian pertama seumpama itu dilaporkan berlaku pada 20 Sept 2010 apabila sepasang suami isteri muda maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh besi selusur Jambatan Pulau Pinang sebelum jatuh ke laut dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi.

Dalam insiden kedua pada 1 Nov 2012, seorang kerani akaun maut apabila kenderaan dipandunya terbabas merempuh tembok dan terjunam ke dalam laut di Km7.9 jambatan itu yang menghala ke George Town dalam kejadian pada 3.30 pagi.

Mayat Tan Lean Loon, 24, ditemui di tempat duduk pemandu dalam keadaan masih bertali pinggang keledar dan kerja-kerja mengangkat kereta dan mangsa berakhir pada 12.15 tengah hari.

Dalam insiden ketiga, seorang lelaki tercampak ke dalam laut setelah motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah motosikal lain di Km1.4 Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian 9.30 pagi pada 30 Okt 2015. Mangsa Mohammad Noor Firdaus Yahya, 24, hanya cedera ringan apabila badannya terbenam dalam lumpur di bawah jambatan itu.

Dua minggu selepas itu, pada 12 Nov 2015, seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan menyebabkannya tercampak jatuh ke laut dari Jambatan Pulau Pinang di Km0.6 menghala ke Perai dalam kejadian pada 5.49 pagi.

Berikut adalah kronologi kejadian kemalangan di Jambatan Pulau Pinang menyebabkan mangsa dan kenderaan terhumban ke laut dalam tempoh 2010 sehingga kini:

*20 Sept 2010: Sepasang suami isteri muda maut selepas kenderaan MPV yang dinaiki mereka merempuh besi selusur Jambatan Pulau Pinang dalam satu kemalangan kira-kira 1.30 pagi.

*1 Nov 2012: Seorang kerani akaun maut apabila kenderaan dipandunya terbabas merempuh tembok dan terjunam ke laut di Km7.9 Jambatan Pulau Pinang menghala ke George Town dalam kejadian 3.30 pagi.

*30 Okt 2015: Seorang lelaki tercampak ke dalam laut setelah motosikal ditunggangnya bergesel dengan motosikal lain di Kilometer 1.4 Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian 9.30 pagi. Mohammad Noor Firdaus Yahya, 24, hanya cedera ringan apabila badannya terbenam dalam lumpur di bawah jambatan itu.

*12 Nov 2015: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas menyebabkannya tercampak jatuh ke laut dari Jambatan Pulau Pinang di Km0.6 menghala ke Perai dalam kejadian 5.49 pagi.

*20 Jan 2019: Sebuah kereta dipandu seorang penuntut kolej swasta terhumban ke laut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Km4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dalam kejadian pada 2.54 pagi Isnin.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     

Program 'Anak Kami' PPIM bantu bayi tidak sah taraf dapat keluarga angkat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel