MxwpD1yjq_A Pencarian SAR kereta terhumban dijambatan dibahagi 4 sektor
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pencarian SAR kereta terhumban dijambatan dibahagi 4 sektor


Tarikh kemaskini: 21/01/2019





GEORGE TOWN, 21 Jan (Bernama) -- Sektor pencarian operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah kereta bersama pemandunya yang terhumban di  Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain awal pagi semalam dibahagikan kepada empat sektor.

Koordinator SAR Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, sektor itu adalah berdasarkan kepada aset-aset yang ada dan kawasan pencarian merangkumi dua batu nautika radius dari lokasi kejadian iaitu Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.

"APMM mengkoordinasikan operasi SAR itu dan aset-aset dari APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah dikerahkan ke tempat kejadian bagi misi mencari dan menyelamat mangsa yang disyaki masih terperangkap dalam kereta berkenaan.

"Aset-aset yang terlibat  termasuklah Bot Kilat dari APMM Perak bersama dengan 14 orang penyelam termasuk enam  penyelam daripada Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia, " katanya di sini hari ini.

Katanya selain itu, pasukan penyelam TLDM  dengan kekuatan satu pasukan penyelam KD Duyong seramai sembilan orang dan Bot CB 001 yang dibantu oleh Pasukan Simpanan Sukarela TLDM KD Perantau dari Pangkalan TLDM Lumut turut terlibat dalam operasi SAR tersebut.

Rozali berkata  selain itu Pasukan Polis Marin menghantar Bot RH dan Bot ZABRI 1 serta JBPM menghantar dua buah bot aluminium untuk operasi SAR berkenaan.

"Orang awam diminta  melaporkan sebarang penglihatan mangsa atau objek di sekitar kawasan berkenaan di talian  24 jam iaitu 999 atau Pusat Operasi APMM Pulau Pinang di talian 04-2626146," katanya.

Dalam kemalangan pukul 2.54 pagi itu, sebuah kereta terhumban ke dalam laut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dekat sini awal pagi semalam.

Pemandu kereta dikenali sebagai Moey Yun Peng berusia 20 tahun, pelajar sebuah kolej swasta.

Sementara itu Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang Mohd Hafiz Hafizal memaklumkan sebuah syarikat swasta, Marine Science Technology Sdn Bhd meminjamkan peralatan pengesan bagi membantu mengesan objek di dalam dasar laut untuk mencari kereta tersebut.

Katanya, berdasarkan maklumat dari syarikat itu, alat itu mampu mengesan objek sehingga kedalaman lebih 20 meter.

"Bantuan daripada syarikat itu meminjamkan peralatan berkenaan akan membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini serta mungkin pencarian kami hari ini akan mendapat petunjuk positif, " katanya di sini hari ini.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Dua perjalanan ke Pulau Langkawi sebelah pagi batal, Terminal Feri Kuala Kedah sesak

 
     

Cubaan seludup dadah bernilai RM4.2 juta tumpas

 
     

Lelaki hilang ketika menangkap ikan di Sungai Segaliud, Kinabatangan

 
     

Kemarau: hutan di tiga jajahan berisiko tinggi kebakaran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel