Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada ugutan, tawaran kepada Tok Batin - Fuziah


Tarikh kemaskini: 20/01/2019





KUANTAN, 20 Jan (Bernama) -- Tiada ugutan atau tawaran dibuat kepada Tok Batin di Cameron Highlands untuk mendapatkan undi, tegas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pahang Fuziah Salleh. 

Beliau berkata perjumpaan yang dihadiri 46 Tok Batin yang tular di media sosial semalam, adalah majlis dialog bersama pihak berkepentingan untuk membincangkan masalah dan mendengar pandangan mereka untuk mencari penyelesaian. 

Katanya, mereka yang hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Ketua Pengarah Jakoa Datuk Ajis Sitin dan dua Senator berkaitan Orang Asli. 

"...semua ingin berdialog bagi memahami masalah Orang Asli seperti tidak mempunyai pendapatan tetap, masalah ekonomi, kemiskinan, isu perumahan yang daif, ketiadaan rumah transit kepada wanita mengandung yang menunggu hari kerana dibimbangi tidak sempat ke hospital kerana jarak yang jauh. 

"Kita juga dengar masalah mereka dalam isu pelaksanaan ladang rakyat yang terbengkalai atau tidak dilaksanakan dengan baik yang akhirnya gagal meningkatkan pendapatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Khidmat Masyarakat 'Seluas Budi, Seteguh Harapan' di Dewan Komuniti Kampung Tanjung Api di sini, hari ini. 

Fuziah menambah kehadirannya pada majlis itu juga atas kapasiti sebagai Timbalan Menteri JPM yang menjaga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana agensi itu juga terlibat secara aktif dalam isu berkaitan Orang Asli. 

Katanya, permasalahan pendidikan anak Orang Asli turut ditimbulkan pada majlis itu, seperti tidak mempunyai kelengkapan persekolahan termasuk baju yang lengkap dan keengganan guru untuk mengajar di pos penempatan masyarakat tersebut. 

"...itu yang kita bincangkan. Tiada satu pun unsur ugutan, hasutan atau tawaran. Malah calon Pakatan Harapan (M. Manogaran) juga tidak dibawa (ke majlis itu). Kita beritahu Tok Batin bahawa mereka adalah wakil kepada Orang Asli dan tidak sepatutnya timbul konflik walaupun ada jawatan dalam politik," katanya.

Fuziah berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan yang tular di media sosial Facebook semalam, mendakwa Tok Batin sekitar Cameron Highlands 'dikurung' di sebuah hotel di Brinchang dengan tujuan untuk dipaksa memberi undi kepada calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu 26 Jan ini. 

Fuziah yang juga Anggota Parlimen Kuantan seterusnya menegaskan tidak akan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen pada PRK Parlimen Cameron Highlands dan menasihatkan Barisan Nasional (BN) untuk belajar berkempen daripada Pakatan Harapan. 

"Jangan buat silap dan belajar berkempen sebagai orang politik. Saya ambil cuti dan bawa kereta sendiri (untuk berkempen). Jangan salah guna jentera kerajaan. Saya pun tidak ada panggil guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kerana saya tak mahu salah guna," katanya. 

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Lelaki hilang ketika menangkap ikan di Sungai Segaliud, Kinabatangan

 
     

Kemarau: hutan di tiga jajahan berisiko tinggi kebakaran

 
     

Mayat penumpang jatuh feri ditemui

 
     

Liew terkejut keputusan Bersatu mahu tubuh cawangan di Sabah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel