Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga beranak maut kemalangan di Gua Musang


Tarikh kemaskini: 17/01/2019





GUA MUSANG, 17 Jan (Bernama) -- Tiga beranak maut apabila kereta Produa Viva yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori sarat muatan barang runcit di Kilometer 63, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, pagi tadi. 

Dalam kemalangan kira-kira pukul 8.35 pagi itu, mangsa yang maut adalah pemandu kereta, Siti Rasyidah Aidrus, 21, bapanya, Aidrus Ibrahim, 72, dan Ibunya, Gayah Che Hassan, 65, kesemuanya berasal dari Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang. 

Bagaimanapun, pemandu lori bersama dua kelindan yang nama mereka belum diperoleh mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).

Ketua Polis Daerah, Supt Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian berlaku ketika tiga beranak itu dalam  perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

"Ketika di lokasi, kereta tersebut hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung lori yang dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang. 

"Ketiga-tiga beranak itu tersepit di dalam kereta yang separuh remuk dan terpaksa mendapat bantuan anggota bomba untuk dikeluarkan. Mangsa semuanya meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala,” katanya. 

Mohd Taufik berkata, mayat tiga beranak itu dihantar ke HGM untuk bedah siasat dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Penguasa Bomba, Anuar Abas ketika ditemui di lokasi berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 8.47 pagi. 

Beliau berkata, tiga jentera bersama 11 anggota bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit di dalam kereta Perodua Viva itu dalam masa setengan jam. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Lelaki hilang ketika menangkap ikan di Sungai Segaliud, Kinabatangan

 
     

Kemarau: hutan di tiga jajahan berisiko tinggi kebakaran

 
     

Mayat penumpang jatuh feri ditemui

 
     

Liew terkejut keputusan Bersatu mahu tubuh cawangan di Sabah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel