Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Restoran Nasi Kandar Pelita seluruh negara hentikan jualan rokok


Tarikh kemaskini: 17/01/2019





BUTTERWORTH, 17 Jan (Bernama) – Pemilik restoran nasi kandar Pelita, antara restoran nasi kandar paling popular di Malaysia, Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita), telah menghentikan penjualan rokok di semua kaunter rangkaian restorannya di seluruh negara bermula semalam.

Pengarah Eksekutif Pelita, Datuk K K Sihabutheen berkata sepatutnya pemberhentian penjualan rokok di 28 buah cawangan restoran nasi kandar itu dibuat bermula pertengahan tahun depan berikutan pihaknya masih mempunyai kontrak bersama pihak pembekal rokok.

"Walau bagaimanapun, menerusi satu perbincangan mereka (pembekal rokok) bersetuju menamatkan kontrak membekal rokok di restoran nasi kandar Pelita bermula semalam.

“Kami yakin langkah ini akan disokong pelanggan kerana kebanyakan mereka mahu satu kawasan bebas daripada asap rokok. Lagipun tidak guna menjual rokok kalau menghisap rokok tidak dibenarkan dalam restoran," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin yang turut hadir dalam sidang akhbar itu turut merakamkan penghargaan kepada rangkaian restoran itu atas inisiatif itu.

Sihabutheen berkata tindakan menghentikan penjualan rokok itu adalah bagi menyokong hasrat kerajaan yang menguatkuasakan larangan merokok di restoran dan kedai makan mulai awal tahun ini.

"(Hasil) jualan rokok setiap bulan adalah kira-kira RM300,000, namun saya percaya ia (kemerosotan hasil ekoran pemberhentian jualan rokok) dapat diatasi dengan jualan makanan," katanya.

Sementara itu, Sihabutheen berkata  pihaknya yakin pelanggan restoran itu tidak mudah terpedaya dengan kiriman WhatApps tular baru-baru ini berhubung status premis itu yang kononnya tidak halal.

Menurutnya rangkaian restoran itu kini berdepan dengan fitnah sedemikian dan beliau menegaskan bahawa kesemua 30 rangkaian restoran nasi kandar Pelita mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak 2012.

“Untuk mendapatkan sijil halal daripada JAKIM ini bukanlah mudah. Kami terpaksa melalui pelbagai prosedur dan kriteria yang ketat sebelum memperoleh perakuan halal dari JAKIM,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai MA63 akan ditubuhkan - Liew

 
     

Lapan nelayan asing ditahan, tangkap ikan secara haram di perairan Labuan

 
     

Populasi badak sumbu Sumatera tidak lagi dikesan di Sabah

 
     

Kerajaan Kedah pinjam bank luar, tambah baik infrastruktur bekalan air

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel