Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rakyat jadi keutamaan tentukan tarif air Melaka


Tarikh kemaskini: 17/01/2019





ALOR GAJAH, 17 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka akan meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam mencari formula terbaik bagi menentukan kadar kenaikan tarif air di negeri ini, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Justeru, beliau berkata formula yang diputuskan hasil perbincangan pihak yang terlibat itu perlu mengambil kira tarif terbaik yang tidak membebankan rakyat di samping insentif yang mampu meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

"Asas kita adalah (kenaikan tarif air) tidak akan membebankan rakyat dengan memberikan insentif kadar air kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan rakyat yang melakukan kaedah penjimatan penggunaan air.

"Kita akan melakukan penilaian bukan sahaja dari segi penyelenggaraan dan perkhidmatan bahkan meliputi semua aspek secara keseluruhan demi kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Pesta Ponggal di Paya Datuk di sini malam tadi.

Turut hadir Exco Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka G.Saminathan dan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi Melaka Norhizam Hassan Baktee. 

Pada Selasa lepas, Bernama melaporkan rata-rata rakyat di negeri ini tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri Melaka yang ingin menaikkan tarif air kerana ia dilihat sebagai tidak kena pada masanya ketika rakyat sedang menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar dilaporkan sebagai berkata kenaikan tarif air dijangka dapat dilaksanakan pada tahun ini berikutan kebanyakan kerajaan negeri menyatakan persetujuan dengan cadangan tersebut.

Bagaimanapun katanya kadar kenaikan masih dalam perbincangan memandangkan setiap negeri mempunyai kadar tarif berbeza malah ada yang tidak pernah menyemak semula selama berpuluh tahun.

 Sementara itu, Adly berkata beliau menyeru masyarakat India di negeri ini agar terus bersatu selain fokus bagi merebut peluang terbaik menerusi setiap inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan.

"Kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha membela nasib dan kesejahteraan rakyat dengan memastikan bahawa setiap pembangunan yang dilaksana dapat memberi manfaat besar kepada rakyat pelbagai kaum termasuk masyarakat India B40 agar tiada kelompok masyarakat yang tercicir daripada ledakan pembangunan negeri ini," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel