Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengguna mohon MPKB kaji semula kadar kompaun parkir


Tarikh kemaskini: 16/01/2019





KOTA BHARU, 16 Jan (Bernama) -- Pengguna tempat letak kereta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) memohon pihak berkuasa tempatan itu mengkaji semula kadar kompaun bagi kesalahan meletak kenderaan di negeri ini.

Kebanyakan pengguna yang pernah dikenakan kompaun itu menyifatkan bayaran sebanyak RM110 bagi membuka semula tayar yang dikunci agak tinggi.

Pengguna Azni Zainal Abidin, 63, berkata kadar kompaun yang dikenakan tahun ini agak tinggi berbanding RM60 sebelum ini.

"Kami akur jika dikenakan tindakan kunci tayar bagi kesalahan meletak kenderaan bukan di kawasan parkir namun diharapkan bayaran kompaun boleh dikurangkan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, beberapa pengguna turut meviralkan tindakan penguat kuasa MPKB yang didakwa mengenakan caj sama bagi membuka tayar yang dikunci walaupun telah membuat rayuan.

Seorang lagi pengguna Muhammad Firdaus Hassan, 32, berkata dalam ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang tinggi, jumlah kompaun itu agak membebankan rakyat.

"Mungkin pihak MPKB boleh pertimbangkan kadar kompaun yang lebih rendah," katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Hal Ehwal Pengguna Islam Malaysia (PHEPIM) Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata adalah wajar pengguna dikenakan denda untuk memberi pengajaran namun MPKB mungkin boleh mempertimbangkan kadar kompaun yang lebih rendah.

"Saya difahamkan bayaran denda itu juga antara yang termahal di Malaysia. Kita harap  pengguna lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan MPKB  bagi mengelak dikenakan denda yang sama," katanya.

Dalam pada itu MPKB ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan bertulis dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

Perintah Pengangkutan Jalan (Letak Kereta Bermeter) MPKB 2000 menetapkan mana-mana pengguna yang melanggar peraturan termasuk meletak kenderaan bukan dipetak parkir atau tidak bayar parkir boleh dikenakan tindakan termasuk kunci tayar di samping kompaun maksimun RM300  bagi setiap kesalahan.

Melalui Akta Pengangkutan Jalan 1987, MPKB diberi kuasa melaksanakan perintah penguatkuasaan itu di 75 lokasi sekitar kawasan  pentadbiran mereka.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel