Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Al-Sultan Abdullah miliki semangat kesukanan tinggi


Tarikh kemaskini: 16/01/2019





KUANTAN, 16 Jan (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah mempunyai semangat kesukanan yang tinggi sehingga tidak mahu diberi kemenangan mudah. 

Bekas menteri besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata Al-Sultan Abdullah tidak akan memberi 'hint' untuk diberikan kemenangan jika mereka beriadah bermain golf pada masa lapang. 

"Kalau main dengan ketua sekalipun, kita akan rasa serba salah perlu ke bagi dia menang... tapi dengan tuanku, kita kena bermain sebaiknya. Tuanku handal bermain golf dan banyak menang, tapi dalam masa sama baginda juga banyak kali kalah. 

"Tuanku mahu permainan dijalankan dengan adil dan jujur. Baginda tak suka jika lawannya bermain lebih kurang kerana sikap kesukanan baginda yang cukup tinggi," katanya semasa ditemui di Kompleks Yayasan Pahang di sini, hari ini. 

Adnan yang menerajui pentadbiran Pahang selama 19 tahun bermula 25 Mei 1999 menambah Al-Sultan Abdullah juga akan 'mengambil kesempatan bertanya hal negeri dan rakyat secara santai' semasa beriadah atau pada perjumpaan santai. 

Katanya, sikap prihatin rakyat itu jelas mewarisi keperibadian ayahanda baginda Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang tetap akan menyentuh isu negeri dan rakyat walaupun semasa sedang bersantai mendengar lagu-lagu lama. 

"Jika saya perlu menulis tentang Sultan Pahang, daripada ayahanda Sultan Ahmad Shah sehingga ke Al-Sultan Abdullah, ia akan penuh dengan panduan dan bersifat humor kerana pengalaman saya yang tiada perkara yang mendukacitakan berlaku. 

"Saya tidak pernah mendengar baginda berdua mencerca rakyat, malah tidak suka jika ada yang mahu menyampaikan cerita buruk tentang orang lain. Cerita mengenai orang yang keluar daripada mulut tuanku hanya berkisar tentang kebaikan," katanya. 

Adnan menambah antara pengalaman peribadi yang tidak dapat dilupakan beliau ialah pendirian Al-Sultan Abdullah bersama Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah danTengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman semasa berlaku ura-ura mahu menukar pentadbiran negeri pada 2016. 

Semasa itu, Adnan sedang berada di luar negara dan berlaku desas-desus akan berlaku pertukaran menteri besar, yang akhirnya tidak berlaku selepas beliau masih mendapat sokongan daripada Istana Pahang. 

"Al-Sultan Abdullah adalah seorang yang bijak dan peka. Pengetahuan baginda dalam politik dan ekonomi adalah sangat current... baginda juga banyak memberi pandangan yang bernas dalam isu ekonomi," katanya. 

Adnan menambah di bawah pentadbiran Al-Sultan Abdullah selaku Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menjalankan perniagaan antaranya dalam bidang pasar raya dan perhotelan bagi mengukuhkan kewangan, tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan negeri. 

Bercakap mengenai Al-Sultan Abdullah juga tidak lengkap jika tidak menyentuh mengenai keperibadian baginda yang begitu bersopan dalam menyantuni rakyat, sama ada pada majlis rasmi atau semasa mencemar duli melawat rakyat yang dilanda musibah. 

"Kita boleh lihat baginda tidak begitu terikat dengan protokol jika bertemu rakyat. Baginda akan bertanya khabar dan bila hari raya, semua orang dibenar masuk ke Istana dan tuanku akan sedaya upaya bertemu seramai yang boleh tetamu baginda. 

"Begitu juga pada istiadat pemasyhuran (semalam)... selesai sahaja bersantap, baginda berjalan seluruh dewan untuk bertemu tetamu. Ini berkat latihan yang diterima daripada ayahanda baginda, dan kini diterapkan pula kepada anakanda baginda," katanya. 

Adnan menambah keperibadian Al-Sultan Abdullah yang berpaksikan 'raja dan rakyat berpisah tiada' membolehkan Pahang terus aman dan rakyat khususnya daripada golongan yang kurang bernasib baik akan mendapat perhatian sewajarnya. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel