Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hab sukan ekstrem bakal dibangunkan di bandar belia Tg Malim


Tarikh kemaskini: 16/01/2019





TANJUNG MALIM, 16 Jan (Bernama) -- Bandar Belia di Tanjung Malim di sini bakal dibangunkan sebagai hab sukan ekstrem yang pertama seumpamanya di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Kementerian Belia dan Sukan bagi merealisasikan usaha itu.

"Kita akan mengadakan mesyuarat dengan kedua-dua kementerian berkenaan dalam tempoh dua minggu lagi untuk mengenal pasti konsep (sukan ekstrem) yang akan dibangunkan serta meneruskan kerja-kerja (pelaksanaan)

"Apabila siapnya pembangunan sukan ekstrem itu nanti, ia mampu menarik pelancong-pelancong khususnya golongan muda untuk datang ke sini kerana kedudukan Tanjung Malim tidak jauh dari Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Youth City di sekitar Taman Bandar di sini hari ini.

Zuraida berkata apabila pembangunan sukan ekstrem itu dapat direalisasikan, ia sekali gus dapat menjana ekonomi penduduk setempat selain meningkatkan kegiatan sosial dan aktiviti di kawasan sekitar.

Dalam pada itu, Zuraida berkata proses untuk membangunkan Bandar Belia yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2023, kira-kira 40 peratus telah siap setakat ini.

"Proses penambahbaikan sedang dilakukan dan kita akan memperkemaskan lagi pembangunan di sekitar Bandar Belia ini sebelum ia siap sepenuhnya," katanya.

Tanjung Malim akan dibangunkan sebagai bandar belia Komanwel yang pertama di dunia yang akan memanfaatkan infrastruktur awam yang sedia ada, kemudahan dan kerjasama dengan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan masyarakat awam.

Projek berwawasan ini diumumkan oleh Putera Charles of  Wales semasa Sidang Kemuncak Pemuda Komanwel pada November 2017, disokong oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Pusat Inovasi Pemuda Komanwel dan majlis pemuda tempatan di Malaysia.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel