Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPKT arah PBT laksana gerak kerja tangani wabak rabies


Tarikh kemaskini: 16/01/2019





TANJUNG MALIM, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)   mengeluarkan arahan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan yang dijangkiti wabak anjing gila atau rabies supaya membuat perancangan teratur bagi menanganinya.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata  PBT dengan kerjasama Jabatan Veterinar negeri telah bersama-sama melaksanakan gerak kerja bagi memastikan wabak itu tidak merebak ke kawasan sekitar.

"Bila ada kes (wabak rabies) ini, secara automatiknya jawatankuasa bertindak adalah di bawah kepimpinan Menteri Besar di negeri masing-masing, tetapi apabila kita lihat keseriusannya kes ini, KPKT boleh mengeluarkan arahan kepada PBT agar menjalankan satu gerakan yang terancang.

"(Bagaimanapun) PBT hanya melaksanakan tugas penguatkuasaan tetapi untuk pelaksanaan menangkap anjing (yang disyaki mengalami sindrom rabies) adalah di bawah Kementerian Kesihatan kerana PBT tidak ada kuasa dari segi skop kerja (mengawal wabak rabies)," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Youth City di sekitar Taman Bandar di sini hari ini.

Isnin lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam memaklumkan mukim Taiping serta Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) diwartakan  sebagai kawasan jangkitan rabies susulan aduan daripada pemilik anjing di Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping digigit pada 31 Dis lepas.

Dr Quaza Nizamuddin berkata ujian sampel otak anjing disahkan positif rabies, manakala tiga daripada 30 sampel daripada anjing berkeliaran di sekitar kawasan Tupai Business Centre dan Pekan Sri Boyan di LMS dikesan positif anjing gila.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang akan bermula 18 Jan ini akan diadili dengan seadilnya.

"Dengan adanya inkues ini, kita akan mendapat satu keputusan yang lebih tepat kerana ia diadili di Mahkamah Koroner setelah keterangan diambil daripada pihak forensik, polis, bomba serta orang awam yang telah diambil kira semuanya.

"Kita mampu untuk membawa (kematian Muhammad Adib) sehingga ke peringkat inkues di mana di peringkat ini, banyak ruang untuk disoal siasat dan diadakan perbicaraan melalui sumber-sumber yang terlibat," katanya.

Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Dis.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     

Program 'Anak Kami' PPIM bantu bayi tidak sah taraf dapat keluarga angkat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel