Lebih 500 premis agensi kerajaan belum punyai taska - Hannah
Tarikh kemaskini: 16/01/2019

KUALA LIPIS, 16 Jan (Bernama) -- Lebih 500 premis agensi kerajaan di seluruh negara masih belum mempunyai taman asuhan kanak-kanak (taska), kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Katanya berdasarkan audit kementerian, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan premis terbabit tidak menyediakan taska.
“… ada yang sebab tidak ada ramai anak-anak kecil, ada yang tempatnya tidak sesuai untuk dibuat taska," katanya kepada Bernama.
Yeoh berkata bermula tahun ini, setiap premis agensi kerajaan diwajib menyediakan taska namun kerajaan ambil maklum kekangan yang dihadapi setiap agensi.
"Mesej saya kepada agensi kerajaan ini, utamakan perkara ini dalam bajet mereka, kalau boleh potong sikit bajet untuk program dan makan-makan yang tidak perlu.
"Mulakan dengan (taska) kecil pun tak apa, asalkan ada," katanya menegaskan bahawa kementerian mahu setiap agensi memandang serius perkara tersebut.
-- BERNAMA
|