Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rombakan dilakukan dalam pengurusan PAIP?


Tarikh kemaskini: 16/01/2019





RAUB, 16 Jan (Bernama) -- Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dijangka mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh terdekat ekoran pendedahan skandal salah guna kuasa dan rasuah melibatkan projek RM23 juta baru-baru ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau telah mengarahkan agar mesyuarat itu diadakan segera bagi membincangkan perkara berkenaan.

Ditanya sama ada akan berlaku rombakan besar-besaran dalam syarikat itu, Wan Rosdy berkata: "Kita tunggu mesyuarat khas ahli lembaga pengarah Paip yang akan diadakan nanti”.

"Benda ini dalam siasatan...jadi biar pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kerajaan Negeri serta Hadiah Pelajar Cemerlang UPSR 2018 Parlimen Raub di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Datuk Aziz Kiram yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Talam dan Pengurus Besar Yayasan Pahang Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Pada 11 Jan lepas, tujuh orang termasuk empat pegawai pengurusan tertinggi Paip Pahang ditahan reman di Mahkamah Majistret Kuantan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan salah guna kuasa dan rasuah yang melibatkan projek bernilai RM23 juta.

Tiga daripada yang ditahan itu dipercayai kontraktor yang dilaporkan memonopoli dan memperoleh projek yang ditawarkan oleh perbadanan itu secara rundingan terus.

Pada Isnin lalu lima lagi suspek termasuk tiga pegawai Paip turut ditahan reman bagi membantu siasatan kes yang sama mengikut Seksyen 17 (a) Akta Pencegahan Rasuah atas kesalahan meminta dan memberi rasuah.

Kesemua mereka yang berumur antara 30 hingga 60 tahun ditahan dalam 'Op Cuci' yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Laporan Ketua Audit Negara 2017 yang dikeluarkan sebelum ini menyatakan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) kerugian tiga tahun berturut-turut iaitu RM114.55 juta sehingga tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2015, RM108.22 juta (31 Mac 2016) dan RM103 juta (31 Mac 2017).

Sementara itu, Wan Rosdy berkata sebagai ketua kerajaan, beliau dengan hati terbuka menerima teguran dan amanah daripada Sultan Pahang Al Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah semalam yang mahukan pemimpin semua peringkat menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah.

"Kita akan cuba lakukan tanggungjawab serta amanah diberikan sebaik mungkin selain mahukan semua pemimpin tidak kira peringkat juga mengambil maklum tentang titah berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel