Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengurus kilang ais didenda RM4,500 gagal patuhi notis JBPM Kelantan


Tarikh kemaskini: 16/01/2019




KOTA BHARU, 16 Jan (Bernama) -- Seorang pengurus kilang ais didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini selepas gagal mematuhi sembilan Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.

Tertuduh, Noor Nadiah Fauzi, 33, mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd Izzuddin Mohd Shukri.

Terdahulu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kilang ais di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, pada pukul 12.30 tengah hari pada 23 Mei 2018.

Antara kegagalan mematuhi Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran ialah gagal menyediakan sistem salur bantu mula, pam sistem semburan automatik yang tidak berfungsi dan pili bomba yang tidak berfungsi.

Noor Nadiah dituduh di bawah Seksyen 10, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau denda tambahan RM100 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JBPM Kelantan, Penguasa Bomba Ahmadi Muhammad Hasan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmadi memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukannya boleh menyebabkan kemudaratan kepada pekerja dan masyarakat sekeliling.

Bagaimanapun, Noor Nadiah dalam rayuannya memohon supaya mahkamah mengurangkan jumlah denda kerana perlu melakukan baik pulih terhadap kilang ais tersebut sebagaimana notis yang dikeluarkan JBPM Kelantan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel