Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PBAPP cadang labur dalam projek bekalan air melalui hasil tambahan


Tarikh kemaskini: 14/01/2019





GEORGE TOWN, 14 Jan (Bernama) – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan menggunakan hasil tambahan daripada kenaikan tarif air untuk membiayai projek-projek bekalan air di negeri ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, yang juga pengerusi PBAPP berkata hasil yang akan dijana daripada tarif air yang baharu akan dimasukkan semula ke dalam perbelanjaan modal PBAPP bagi meningkatkan mutu bekalan air terawat kepada pengguna.

Beliau berkata PBAPP merancang untuk melabur RM501 juta dalam lima projek utama bekalan air di Pulau Pinang yang akan dilaksanakan antara 2019 dan 2021.

Ketua Menteri berkata projek-projek tersebut bertujuan untuk mengelakkan catuan air di negeri ini.

"Jika semakan tarif diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan, hasil tambahan itu akan dilaburkan semula ke dalam projek-projek di Pulau Pinang untuk kepentingan rakyat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata PBAPP perlu meningkatkan pembiayaan yang mencukupi untuk merealisasikan projek kejuruteraan bekalan air Pulau Pinang untuk masa depan.

Chow berkata tanpa projek-projek ini, Pulau Pinang menghadapi risiko yang lebih tinggi mengalami krisis air semasa musim kering yang berlarutan setiap tahun.

Lima projek utama yang dikenalpasti oleh PBAPP ialah Saluran Paip Berkembar Pulau Pinang Butterworth-Pulau Pinang sepanjang 1,200 mm (Saluran Paip Bawah Tanah ketiga),  Skim Pemindahan Air Mentah Sungai Perak, Menaiktaraf Semua Loji Rawatan Air, Empangan dan Stesen Pam Sedia Ada, menggantikan dan memasang saluran paip baharu.

Chow berkata pada 2017, purata permintaan air Pulau Pinang adalah 826 juta liter sehari (MLD) dan angka itu terus meningkat setiap tahun.

"Menurut Kajian Pelan Induk bagi Air Minum di Pulau Pinang menjelang 2050 yang dijalankan pada 2009, permintaan air di Pulau Pinang dijangka meningkat 128 peratus, kepada 1,884 MLD menjelang 2050," katanya.

Sementara itu, Chow berkata ia adalah pregotif Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk memutuskan dan membuat pengumuman mengenai tarif baharu itu.

"Kami masih menunggu keputusan Kabinet sebelum kadar tarif baharu air dapat dilaksanakan,” kaa beliau.

Rabu lepas, Chow mengumumkan bahawa kadar tarif air di Pulau Pinang akan meningkat sebanyak kira-kira 20 peratus tahun ini seiring dengan usaha oleh kerajaan persekutuan untuk menstruktrur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel