Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kedah naikkan had kerja undi selenggara jalan negeri


Tarikh kemaskini: 14/01/2019





ALOR SETAR, 14 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri Kedah mengambil inisiatif menaikkan nilai had kerja undi kepada RM150,000 bagi satu kerja penyelenggaraan jalan negeri yang ditawarkan kepada kontraktor Kelas G1 pada tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Katanya, langkah itu bagi memberi peluang yang lebih besar kepada kontraktor kelas tersebut di samping dapat meningkatkan kualiti penyelenggaraan jalan di negeri ini.

Beliau berkata sebelum ini had kerja undi adalah antara RM20,000 hingga RM50,000 bagi setiap kerja yang ditawarkan melalui kaedah undi yang diadakan setiap tahun bermula 2015.

“Hasrat utama kerajaan dalam pemberian kerja-kerja penyelenggaraan jalan melalui kaedah perolehan undi ini adalah bagi memberi peluang kepada seramai mungkin kontraktor Kelas G1 untuk turut serta,” katanya ketika berucap pada majlis minum petang dan taklimat kerja undi negeri ini bagi tahun 2019 bersama kontraktor Kelas G1, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kedah, Zamri Yusof.

Mukhriz berkata antara skop kerja penyelenggaraan jalan yang diberikan secara undi itu termasuk kerja-kerja mengecat garisan jalan, menggantikan perabot jalan seperti papan tanda, tandaan jalan  dan menyelenggara longkang.

Katanya, kerajaan negeri sememangnya amat prihatin terhadap harapan kontraktor-kontraktor untuk mendapatkan peluang bagi kerja-kerja yang ditawarkan kerajaan. 

Katanya, para kontraktor juga perlu meningkatkan keupayaan dan mengikis kelemahan supaya lebih berdaya maju serta merebut peluang-peluang yang disediakan kerajaan.

“Usaha juga perlu dipergiatkan untuk memperkukuhkan lagi kompetensi melalui usaha bimbingan, latihan kemahiran, perkongsian pengalaman dan jaringan atau networking. Kita mahu melihat lebih ramai kontraktor berkualiti dan berdaya saing sehingga ke persada antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     

Polis Kedah rampas syabu RM2.5 juta, tahan keldai dadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel