Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tinggal di asrama bagi suasana pembelajaran lebih baik - Uggah


Tarikh kemaskini: 13/01/2019




BETONG, 13 Jan (Bernama) -- Ibu bapa di luar bandar dinasihati memanfaatkan kemudahan asrama yang disediakan di sekolah untuk kemudahan serta kebaikan anak-anak mereka sendiri.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata antara manfaatnya ialah kemudahan pembelajaran yang selesa terutama pada waktu malam.

“Ini berbanding jika  tinggal di rumah panjang yang sudah tentu mempunyai terlalu banyak gangguan bagi anak-anak menumpukan perhatian kepada pelajaran. 

“Selain itu anak-anak yang tinggal di asrama akan dilatih tentang disiplin diri dan pengurusan masa,” katanya pada majlis makan malam SK Nanga Gayau di Debak dekat di sini pada Sabtu malam.

Beliau berkata murid yang tinggal di asrama juga akan diberi bimbingan oleh para guru terutama pada mata pelajaran tertentu selain disediakan dengan kemudahan perpustakaan serta komputer disamping makan minum mereka juga dijaga dengan baik.

Uggah berkata daripada pemerhatian beliau ramai murid  tinggal di rumah panjang berbanding di asrama sekolah memandangkan kini terdapat jalan perhubungan yang elok dan ada ibu bapa yang berulang-alik setiap hari menghantar anak mereka ke sekolah.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu-bapa supaya sentiasa memantau perkembangan pembelajaran anak masing-masing agar  mereka tidak ketinggalan terutama yang akan mengambil peperiksaan seperti UPSR.

Pada majlis itu Uggah mengumumkan pemberian geran RM100,000 bagi pembangunan sekolah manakala RM30,000 lagi bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut.

-- BERNAMA  

 

   

 
 
     
   
 

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel