Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MB Johor sangkal dakwaan masuk perairan Singapura


Tarikh kemaskini: 11/01/2019





BATU PAHAT, 11 Jan (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian hari ini menyangkal laporan beberapa portal berita dari Singapura, yang mendakwa beliau memasuki perairan negara itu semasa lawatannya ke kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura dekat sini pada Rabu.

Beliau berkata lawatannya ke kawasan itu sekadar untuk melihat bagaimana pasukan keselamatan menjalankan tugas di perairan negara.

“Kami, ketika melawat Kapal MV Pedoman, tahu kawasan perairan dan sempadan dua negara... sudah pasti kita tak akan masuk kawasan mereka kerana kita menghormati undang-undang kedua-dua belah pihak.

"Jadi, saya rasa kawasan yang saya lawat ketika itu bukannya kawasan Singapura sebab polis kita sendiri pun boleh masuk dan tujuan lawatan itu bukannya mahu membuat provokasi sebaliknya hanya mahu melihat pasukan keselamatan kita bertugas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana dan Program 'Back To School' di Dataran Perdana SMK Suria Perdana di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan beberapa portal berita Singapura semalam yang mendakwa lima kapal pasukan keselamatan Malaysia telah dilihat memasuki perairan negara itu pada Rabu, selepas baru sehari kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi menangani pertikaian maritim dan isu ruang udara.

Lima kapal itu didakwa dinaiki oleh rombongan Osman yang membuat lawatan ke aset Jabatan Laut, MV Pedoman di kawasan terbabit.

Osman berkata jika mengikut ulasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam laman sosial Youtube dan Facebook, ia secara jelas turut menyatakan memang terdapat kapal penguatkuasa Malaysia di kawasan terbabit.

“Jadi, saya rasa tidak perlu beritahu Singapura berkenaan lawatan yang dilakukan kerana masih berada dalam negara sendiri,” katanya.

 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Video Lucah: Beri ruang dan waktu untuk polis siasat -- KPN

 
     

Sultan Selangor rasmi pembukaan besar-besaran Central I-City

 
     

Elak minum susu kambing segar dari sebuah ladang di Pulau Indah

 
     

14 syarikat penuhi kriteria eksport buah Musang King ke China

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel