Sarawak diminta berhubung dengan kerajaan pusat bagi mendapatkan maklumat tepat
Tarikh kemaskini: 09/01/2019

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) – Kerajaan Persekutuan meminta kerajaan negeri Sarawak untuk berhubung dengannya bagi mendapatkan maklumat tepat dan berasas demi mewujudkan kerjasama yang baik diantara kedua-dua pihak.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan menegaskan sekali lagi kenyataan yang dibuat pada 6 Januari lalu berkenaan baki hutang negeri itu yang berjumlah RM2.5 bilion dan tunggakan bayaran balik hampir RM50 juta adalah berasaskan rekod pada 30 November 2018.
Baki hutang dan tunggakan bayaran balik negeri itu, masing-masing berada pada RM2.43 bilion dan RM46.5 juta sehingga 31 Disember 2018.
Bagaimanapun, pada 7 Januari 2019, Sarawak telah mengeluarkan kenyataan bahawa hutangnya hanya berjumlah RM2.38 Bilion pada 31 Disember 2019 dan tanpa sebarang tunggakan hutang.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata Sarawak juga telah melakukan serangan terhadap Kerajaan Persekutuan dan mempertikaikan mengapa negeri itu tidak menerima Hasil Cukai Pelancongan 2018 seperti Sabah.
"Sabah sendiri telah keluarkan kenyataan menafikan kenyataan Sarawak bahawa Sabah telah menerima Hasil Cukai Pelancongan.
"Jelas sekali, Sarawak telah membuat dakwaan palsu dan berniat fitnah terhadap Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.
Menurutnya, Hasil Cukai Pelancongan yang dikutip sejak September 2017 akan dibayar pada suku pertama tahun ini.
-- BERNAMA
|