Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tarif air Pulau Pinang naik 20 peratus tahun ini


Tarikh kemaskini: 09/01/2019





GEORGE TOWN, 9 Jan (Bernama) -- Kadar tarif air di Pulau Pinang akan naik kira-kira 20 peratus tahun ini selaras dengan usaha kerajaan persekutuan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata  kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mengadakan beberapa rundingan dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk membuat semakan semula tarif air.

"Kenaikan tarif air itu tidak dapat dielak namun kadar peratusan kenaikan itu mungkin dalam belasan peratus atau lebih 20 peratus yang akan ditentukan oleh pihak Kementerian dan SPAN," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau menerangkan bahawa kenaikan kadar tarif itu akan melibatkan beberapa kategori pengguna individu dan pengguna perniagaan.

Katanya, kerajaan sedang dalam perbincangan untuk memansuhkan surcaj pemulihan air yang diperkenalkan untuk menggalakkan penggunaan air secara bijak dalam kalangan rakyat negeri ini.

"Selepas tarif air baharu diperkenalkan, kemungkinan kerajaan akan mempertimbangkan untuk memansuhkan surcaj pemulihan air negeri agar tidak membebankan rakyat," katanya.

Bagaimanapun, Chow yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata kadar tarif di Pulau Pinang akan kekal paling murah di negara ini walaupun setelah kenaikan dengan kadar baharu.

Sementara itu, Chow turut mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada lima Sekolah Menengah Persendirian Cina di Pulau Pinang yang membuat permohonan tahun ini.

Katanya, peruntukan ini diharapkan dapat menampung segala keperluan sekolah dan dapat mengurangkan beban pihak sekolah terutamanya dalam memastikan keselesaan dan keselamatan pelajar terus terjamin.

"Setiap sekolah akan menerima RM400,000 daripada kerajaan Pulau Pinang sebagai bantuan untuk kerja-kerja menaik taraf kemudahan sekolah," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Lapor berita benar, jangan mengadu domba, jaga sensitiviti, kata Undang Luak Jelebu kepada media

 
     

PDRM diarah buat sekatan jalan, halang aktiviti bawa keluar sisa toksik secara runcit

 
     

Jambatan angkat dijangka dibuka 1 Ogos - Exco Terengganu

 
     

Pencemaran udara Pasir Gudang: Sembilan tabika perpaduan ditutup

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel