yLz9W8hvEkM Perjuangan GPS mempertahankan hak Sarawak dan rakyatnya - Ketua Menteri Sarawak
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perjuangan GPS mempertahankan hak Sarawak dan rakyatnya - Ketua Menteri Sarawak


Tarikh kemaskini: 09/01/2019





KUCHING, 9 Jan (Bernama) -- Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah gabungan yang akan mempertahankan Sarawak dari sudut hak-haknya mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Sarawak, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kita akan mempertahan Sarawak mengikut lunas-lunas perlembagaan, memberi keadilan serta mempertahankan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi GPS dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian semasa berucap pada pelancaran Program Rali Jelajah GPS dan memperkenalkan logo dan lagu GPS di ibu pejabat PBB di sini hari ini.

“GPS juga akan meneruskan usaha membangunkan negeri Sarawak dalam era yang baharu, di mana kita akan menambahkan nilai-nilai hidup, nilai suci dan juga nilai-nilai ekonomi yang terdapat di bumi Kenyalang ini,” tambahnya.  

Sehubungan itu, beliau mengajak semua komponen GPS, iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) untuk bersama-sama bergerak mempertahankan bumi kenyalang bertuah ini.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita kemudian, beliau berkata pada mesyuarat Majls Kepimpinan Tertinggi hari ini, beliau menjelaskan bahawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah meluluskan perlembagaan dan logo GPS.

Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Muhyiddin Yassin kerana meluluskan permohonan GPS sebagai entiti politik anak-anak Sarawak.

Diminta mengulas isu cukai pelancongan dan pinjaman kerajaan negeri kepada kerajaan pusat, Abang Johari mahu supaya debat mengenai isu itu dihentikan.

Katanya, beliau telahpun memberi kenyataan mengenai pinjaman kerajaan pusat kepada kerajaan negeri dan mengenai agihan cukai pelancongan 50 peratus kepada Sarawak, dan beliau mahu perkara itu diselesaikan secara baik. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel