Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pesara KPDNHEP antara tiga ditahan menyamar pegawai, serbu kedai runcit


Tarikh kemaskini: 08/01/2019





LUMUT, 8 Jan (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang pesara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas dipercayai menyamar sebagai pegawai penguatkuasa dan melakukan serbuan di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman berkata pemeriksaan mendapati pesara berumur 58 tahun itu memakai ‘vest’ KPDNHEP dipercayai miliknya sendiri dan digunakan untuk memperdaya  mangsa.

Katanya, suspek bersama dua lagi rakan masing-masing berumur 55 tahun dan 38 tahun menaiki kereta jenis Proton Iswara sebelum ditahan pihak polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah pasaraya di Sitiawan kira-kira pukul 2.15 petang, hari yang sama.

“Soal siasat mendapati mereka baru selesai menyamar sebagai pegawai KPDNHEP dengan membuat serbuan di sebuah kedai runcit.

“Kita turut menemukan 29 kotak dipercayai rokok seludup bernilai lebih RM200 dipercayai hasil serbuan di kedai tersebut dan hasil siasatan mendapati rokok tersebut adalah untuk kegunaan mereka sendiri dan bukan untuk dijual,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, hari ini.

Muhammad Hanif berkata pihaknya turut merampas sehelai jaket, sehelai baju lengan panjang berlambang kementerian, tali pinggang, sepasang gari dan sebatang kayu cota dipercayai milik pesara itu yang bersara sejak dua tahun lalu.

“Mereka juga mengaku melakukan tiga kes di beberapa lokasi di daerah Manjung menggunakan modus operandi sama sejak Oktober lalu,” katanya.

Beliau berkata reman empat hari kesemua mereka yang berakhir hari ini, dilanjutkan tiga hari lagi.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berumur 39 tahun ditahan selepas menyamar sebagai anggota polis dan melakukan peras ugut ke atas empat warga Indonesia dalam kejadian di atas jejantas berhadapan sebuah pasaraya di Sitiawan di sini, Sabtu lalu.

Muhammad Hanif berkata dalam kejadian pukul 3 petang itu, suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis meminta kesemua mangsa untuk menunjukkan permit kerja dan mengugut untuk membawa mereka ke balai polis.

"Suspek meminta wang sebanyak RM1,000 daripada mangsa, namun mangsa yang takut memberikan suspek RM40 sebelum suspek melarikan diri namun berjaya ditahan polis 15 minit kemudian," katanya sambil menambah suspek direman selama lima hari bermula Sabtu lalu.

Kedua-dua kes penyamaran tersebut disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan pemerasan dan menyamar sebagai penjawat awam.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel