Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis pintas cubaan edar 2kg syabu, 8,500 pil ecstasy


Tarikh kemaskini: 08/01/2019





BUKIT MERTAJAM, 8 Jan (Bernama) -- Polis berjaya memintas cubaan mengedar kira-kira dua kilogram syabu dan 8,500 biji pil ecstasy bernilai sekitar RM355,000, susulan penangkapan dua lelaki dipercayai pengedar dadah berdekatan dengan Flat Teluk Indah, Perai, dekat sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki tempatan berumur 32 serta lelaki Indonesia berumur 42 tahun itu ditahan semasa berada dalam sebuah kereta oleh sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan pada kira-kira pukul 10.30 malam.

“Semasa ditahan ada seorang lagi lelaki berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta itu tetapi dia sempat bertindak keluar dari kenderaan dan meloloskan diri. Polis sedang giat mengesan lelaki yang berumur 30-an itu, identitinya sudah dikenalpasti,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan polis menemui sebuah beg berwarna hitam yang menyimpan bahan yang disyaki dadah itu, dan berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya kedua-dua suspek merupakan anggota sebuah sindiket pengedaran dadah, yang dalam perjalanan untuk mengedar di sekitar Bukit Mertajam.

Nik Ros Azhan berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai terlibat mengedar dadah sejak tahun lepas di sekitar Pulau Pinang dan hasil siasatan mendapati warga tempatan itu mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, manakala warga Indonesia yang tidak memiliki dokomen perjalanan diri itu pula didapati positif dadah jenis syabu.

Katanya kedua-dua suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel