Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Shafie ajak rakyat Sabah bekerjasama dengan kerajaan negeri bangunkan Sabah


Tarikh kemaskini: 31/12/2018





KOTA KINABALU,  31 Dis (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengajak rakyat di negeri itu agar berganding tangan bersama kerajaan negeri bagi menjana pembangunan dan memastikan pencapaian lebih baik berbanding 2018.

Dalam mesej bersempena tahun baharu, Mohd Shafie berkata sebagai rakyat, mereka harus mempunyai pendekatan yang betul dan berani untuk memastikan program dan pelan pembangunan di Sabah berjaya selain menjamin pembangunan yang berterusan dan faedahnya dinikmati oleh generasi akan datang.

 “Apa juga cabaran dan halangan yang menunggu, jika rakyat bersatu dan jentera kerajaan berjalan dengan baik, saya pasti segala masalah ini dapat diatasi. Kami berdoa agar Allah sentiasa melindungi negara kita supaya rakyat dapat bergerak ke depan dan menikmati kemakmuran.

“Sabah kita yang tercinta ini kaya dengan sumber sekalipun sering kali berdepan pelbagai ancaman namun dengan kerjasama dan sokongan rakyat, insya-Allah 2019 akan  menjadi tahun yang makmur,” katanya. 

Mohd Shafie berkata 2018 merupakan tahun yang mencabar namun beliau bersyukur kerana berlaku pertukaran kerajaan.

Kini sudah melebihi tujuh bulan sejak kerajaan yang diterajui Warisan memimpin Sabah namun dalam tempoh yang singkat itu banyak yang dicapai dalam membawa perubahan yang diharapkan rakyat, katanya.

Antaranya kata beliau dua kementerian baharu diwujudkan iaitu Kementerian Pendidikan dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat manakala di peringkat persekutuan pula, anggota Parlimen Sabah diletakkan di kementerian yang strategik.

“Perubahan ini bertujuan memberi faedah kepada rakyat dan negeri termasuk mengekalkan larangan eksport kayu balak, memansuhkan geran tanah komunal serta peruntukan RM10 juta oleh Yayasan Sabah sebagai geran ‘one-off’ untuk membantu anak-anak dalam usaha menyambung pengajian ke peringkat tinggi,” katanya.

Mohd Shafie berkata pencapaian signifikan lain termasuk pemansuhan semua kontrak terdahulu Jabatan Air yang berkaitan dengan skandal Watergate, projek Pan Borneo diteruskan, dan royalti minyak lebih tinggi untuk Sabah akan dituntut berdasarkan terma dalam Perjanjian Malaysia 1963. 

“Banyak lagi yang akan dicapai pada 2019 susulan pelan yang telah dilaksanakan sejak 12 Mei 2018,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata 2019 juga tidak akan sunyi daripada cabaran dan halangan, bukan sahaja di peringkat negeri dan negara tetapi juga di seluruh dunia.

“Perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China, selain kekangan kewangan yang kita hadapi disebabkan jumlah hutang besar yang dibuat kerajaan terdahulu, sudah pasti akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi di rantau ini dan semestinya negara kita terutamanya Sabah,” katanya.

Bagaimanapun katanya sebagai rakyat Malaysia, kita semua harus bersatu tanpa mengira kaum dan agama untuk menghadapi hari-hari mencabar yang akan datang dalam semangat perpaduan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     

Polis Kedah rampas syabu RM2.5 juta, tahan keldai dadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel