Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dimensi baharu keselamatan rumah panjang


Tarikh kemaskini: 29/12/2018





Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

SEBAUH, 29 Dis(Bernama) -- Dengan  persetujuan penduduk, tuai rumah Lichong Along mengambil keputusan supaya rumah panjang yang diketuainya itu berpindah ke tapak baharu di tepi Jalan Bintulu-Bakun, kurang satu kilometer daripada lokasi asal.

Menurutnya rumah lama terletak di tebing Sungai Kemena sering dinaiki air apabila musim hujan dan banjir??????, selain mengambil kira beberapa faktor seperti lokasi baharu lebih dekat dengan jalan raya bagi memudahkan bekalan elektrik dan air disalurkan menyebabkan mereka bersetuju untuk pindah.

Katanya rumah panjang baharu itu sudah mula dibina sejak September 2017 yang dijangka akan disiap dalam tempoh dua tahun bakal menempatkan 193 orang penduduk.

Berpindah ke tapak baharu mungkin satu perkara biasa kerana dilakukan selepas mengambil kira beberapa faktor, namun lebih menarik bagi warga Rumah Lichong mereka sebulat suara mahu rumah panjang baharu nanti dibuat dalam direka bentuk moden. 

"Sebanyak 31 pintu rumah akan dibina di tapak baharu ini berbanding hanya 17 pintu di tapak lama. Reka bentuk rumah panjang ini akan dibuat secara moden tidak lagi menggunakan kayu sebaliknya batu, simen dan besi semuanya atas faktor keselamatan terutama mengelak kebakaran merebak," kata tuai rumah berusia itu 59 tahun itu kepada Bernama.

Lichong berkata penduduk sepakat reka bentuk di bahagian luar rumah panjang itu dibuat sama, namun dekorasi di bahagian dalam rumah terpulang kepada kehendak serta keperluan penduduk masing-masing.

“Kita sedia maklum antara perkara yang mengakibatan kebakaran cepat merebak disebabkan faktor struktur rumah panjang daripada kayu. Di rumah baharu nanti setiap unit rumah (setiap pintu) akan dipisahkan antara satu dengan lain dengan dinding konkrit yang bertindak sebagai penahan api bagi mengelak sebarang kejadian, kami juga memastikan pendawaian dilakukan oleh kontraktor bertauliah" katanya.

Sementara itu Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Edwin Galan Teruki menyambut baik pembinaan rumah panjang di negeri ini yang memberi tumpuan kepada faktor keselamatan bagi mengelak kebakaran merebak.

Katanya kira-kira 10 tahun lepas beliau pernah membentangkan satu kertas kerja langkah keselamatan yang perlu diambil rumah panjang di negeri ini semasa pertemuan bersama tuai-tuai rumah di Miri.

“Pada pertemuan tersebut saya nyatakan keperluan agar penahan api diwujudkan bagi mengelak api merebak, biarpun ketika itu cadangan saya dibantah keras kerana seolah-olah 'memutuskan' rumah panjang namun ketika ini kita dapat lihat kesedaran semakin baik apabila konsep tersebut sudah diguna pakai," katanya.

Beliau berkata selain penahan api, perkara seperti pendawaian elektrik perlu dilakukan dengan sempurna bagi mengelak kecelakaan berlaku.

"Penyambungan elektrik perlu dibuat dengan sempurna, jangan biarkan terdedah dan jangan suka melipat wayar tersebut. Selain itu berhati-hati semasa memasak, jangan tinggalkan tanpa pengawasan," katanya.

--BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel