Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Program pendidikan kebakaran di Sarawak perlu diperluaskan


Tarikh kemaskini: 22/12/2018





KUCHING, 22 Dis (Bernama) -- Program pendidikan mengenai pencegahan kebakaran di negeri Sarawak, khususnya di kalangan kanak-kanak perlu diperluaskan dalam usaha mengurangkan kes kebakaran, kata pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak Khirudin Drahman Husaini.

Menurut Khirudin, kes kebakaran di negeri ini berada di tahap yang sangat mengusarkan, tetapi beliau tidak dapat memberi statistiknya, dan juga statistik kebakaran yang berpunca daripada kanak-kanak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ceramah dan sambutan Hari Krismas untuk Kanak-kanak D’Wira Education Centre anjuran Commonwealth Journalists Association (CJA) Sarawak dengan kerjasama JBPM Negeri Sarawak di sini hari ini.

Katanya, ketika beliau menjadi pengarah bomba Kuala Lumpur program berkenaan telah diperkenalkan dan sejak itu kes kebakaran berpunca daripada kanak-kanak sudah berkurangan kerana mereka sudah faham bahawa keselamatan diri tanggungjawab mereka.

Pada program hari ini, kanak-kanak terbabit diberi ceramah mengenai keselamatan diri, khususnya berkaitan kebakaran.

“Kita mahu satu masyarakat daya tahan bencana dan tahu bagaimana mengelak kejadian kebakaran dan kita mahu  maklumkan kepada mereka bahawa kebakaran boleh dicegah. Walaupun kita dapat tengok di negara barat peralatan kebombaan mereka hebat tetapi apa yang penting adalah pencegahan, langkah berjaga-jaga dan perlindungan yang kita perlu terapkan,” katanya.

Beliau berkata di negara  luar, misalnya di Jepun dan Australia masyarakat menjadi komuniti yang tahu tentang bahaya kebakaran.

Dalam pada itu, Khirudin berkata pihak bomba sudah bersiap sedia menghadapinya musim banjir dan akan bekerja rapat dengan agensi-agensi lain di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

“Kita mahu bertindak pantas dalam gerakan menyelamat mangsa-mangsa banjir. Unit udara kita akan membuat tinjauan di lokasi-lokasi banjir.

“Kita doakan keadaan tidak akan mendatangkan bencana dan kita juga meminta kerjasama mangsa banjir agar mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya mereka diminta segera berpindah ke tempat yang selamat,” katanya.

Sarawak dijangka dilanda hujan lebat, terutama di sebelah utara, namun Khirudin menasihatkan masyarakat agar jangan risau kerana bilik gerakan bencana akan beroperasi 24 jam, tetapi masyarakat perlu patuhi segala arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel