Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keluarga terima sumbangan tabung #SaveAdibKassim


Tarikh kemaskini: 20/12/2018





ALOR SETAR, 20 Dis (Bernama) -- Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) hari ini menyerahkan hasil kutipan sumbangan tabung #SaveAdibKassim yang merupakan inisiatif SinarOnline berjumlah RM47,209.64  kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini.

Sumbangan dalam bentuk cek itu disampaikan Timbalan Pengerusi Karangkraf Datuk Muhammad Nasir Hamzah kepada bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abd Hamid, 63, di kediaman keluarga itu di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini.

Muhammad Nasir ketika ditemui pemberita selepas penyampaian sumbangan itu berkata tabung yang dilancarkan sejak tiga minggu lalu itu bertujuan membantu meringankan beban keluarga Allahyarham menghadapi situasi sukar itu.

"Selepas dapat tahu kes Muhammad Adib dipukul dan dimasukkan ke hospital, kami terus lancar tabung ini keesokan harinya iaitu pada mulanya untuk bantu ringan beban keluarga daripada segi memenuhi keperluan perubatan Allahyarham, tetapi sebaliknya berlaku, sekarang kita serah sepenuhnya kepada keluarganya," katanya.

Beliau berkata hasil kutipan sumbangan itu menunjukkan keprihatinan rakyat negara ini yang berhasrat dengan seikhlas hati untuk membantu Muhammad Adib sekeluarga sehinggakan masih ada pihak yang menyumbang lagi ke dalam tabung itu meskipun kutipan sumbangan itu telah dihentikan secara rasmi sejak empat hari lalu.

Sementara itu, ibu Muhammad Adib, Asma Aziz, 51, berkata dia mengucapkan terima kasih kepada Karangkraf serta semua pihak termasuk rakyat negara ini yang menyumbang ke dalam tabung itu bagi membantu keluarganya berhadapan keadaan sedih kehilangan anak keduanya daripada empat beradik tu.

"Sumbangan ini kemungkinan mak cik hendak buat (upah) haji untuk Muhammad Adib dan bersedekah serta wakaf atas namanya," katanya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.41 malam Isnin lepas selepas dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada 27 Nov lalu.

Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini kira-kira 1.45 tengah hari Selasa.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Video Lucah: Beri ruang dan waktu untuk polis siasat -- KPN

 
     

Sultan Selangor rasmi pembukaan besar-besaran Central I-City

 
     

Elak minum susu kambing segar dari sebuah ladang di Pulau Indah

 
     

14 syarikat penuhi kriteria eksport buah Musang King ke China

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel